SEORANG ahli parlimen DAP menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan perjanjian yang mengakibatkan sebuah syarikat membekalkan alat bantuan pernafasan yang rosak kepada Kementerian Kesihatan antara 2020 dan 2022.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii menegaskan tindakan mesti diambil kerana alat bantuan pernafasan adalah alat penting untuk menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19.
“Jika terbukti wujud unsur kecuaian, tindakan perlu diambil dan pihak yang terlibat perlu bertanggungjawab kerana tindakan sedemikian juga secara langsung akan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit terutamanya semasa pandemik,” kata seorang doktor pelatih, Yii.
Yii berkata kekurangan dokumentasi perolehan memerlukan siasatan.
Dokumentasi tambahan akan memberikan perlindungan undang-undang yang lebih baik dan akan menetapkan liabiliti pihak yang terlibat.
“Pihak terbabit kena jawab dan bertanggungjawab. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan.
“Sekiranya terbukti wujud unsur-unsur kecuaian, tindakan perlu diambil dan pihak yang terbabit perlu bertanggungjawab kerana tindakan sebegitu juga secara langsung akan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit terutamanya semasa wabak ini,” katanya.
Semalam Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid berkata kerajaan menanggung kerugian RM13.07 juta bagi perolehan 93 alat bantuan pernafasan yang rosak untuk kemudahan Kementerian Kesihatan pada 2021.
Beliau menambah tiada jaminan diberikan untuk alat bantuan pernafasan.
Terdapat juga 108 daripada 136 alat bantuan pernafasan tidak boleh digunakan yang dibekalkan oleh sebuah syarikat antara 2020 dan April 2022.
Secara keseluruhannya kerajaan membayar RM24.07 juta untuk 136 alat bantuan pernafasan kepada sebuah syarikat yang hanya dirujuk oleh Jabatan Audit Negara (NAD) sebagai 260790-T.
Suruhanjaya Syarikat menamakan syarikat 260790-T sebagai Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd - anak syarikat Pharmaniaga Bhd yang seterusnya dikawal oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui Boustead Holdings Bhd.
“Tiada dokumen berkaitan urus niaga perolehan alat bantuan pernafasan diserahkan kepada juruaudit yang juga tidak dapat mengesahkan peranan dan tanggungjawab syarikat 260790-T sebagai syarikat yang menguruskan perolehan alat bantuan pernafasan dan yang berurusan dengan pengeluar.
“Berdasarkan pengiraan NAD, jumlah kerugian daripada 93 alat bantuan pernafasan yang tidak dapat digunakan (tolak 15 yang digantikan oleh pengeluar) ialah RM13.07 juta,” menurut laporan itu. – 17 Februari 2023.
Komen