SARAWAK sepatutnya menerima agihan satu pertiga daripada Belanjawan 2023, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Gerald Rentap Jabu.
Beliau berkata Sabah juga perlu mendapat satu pertiga dan selebihnya bagi negeri-negeri di Semenanjung yang akan dibentangkan Jumaat depan.
“Masa untuk Putrajaya tunaikan apa yang dikata dan memberi Sarawak dan Sabah pengiktirafan sepatutnya (kerana menjadi rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia),” katanya, merujuk kepada negeri-negeri Borneo yang tidak mendapat bahagian saksama daripada belanjawan selama ini walaupun hasil minyak dan gas kedua-dua negeri menjadi penyumbang besar kepada tabung negara.
“Jika kita mendapat satu pertiga daripadanya, maka semua infrastruktur asas Sarawak, terutama di kawasan luar bandar, boleh dibangunkan dengan lebih baik.”
Beliau berkata negeri itu perlu menambah baik infrastruktur asasnya kerana ia mula meluaskan asas ekonominya dengan beralih daripada ekonomi digital, menghasilkan hidrogen untuk eksport dan penangkapan dan penyimpanan karbon.
“Kami memerlukan lebih banyak sekolah, kemudahan kesihatan, jalan raya, rangkaian telekomunikasi yang lebih baik.”
Beliau berkata Sarawak bukan sahaja perlu membina lebih banyak sekolah, malah sekolah sedia ada perlu dibaiki dan diselenggara.
“Tiada apa-apa yang dilakukan mengenainya (pembaikan) dan terdapat banyak lagi sekolah yang jauh lebih teruk daripada ini,” katanya kepada The Malaysian Insight, merujuk kepada SK Nanga Ajau di Betong yang dilawatinya ketika menghadiri sebuah acara di sana baru-baru ini.
Betong terletak kira-kira 200km dari Kuching.
“Kami perlu menambah baik infrastruktur telekomunikasi.”
Beliau menambah walaupun pemberian khas RM300 juta untuk Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang akan diperoleh daripada kerajaan persekutuan setiap tahun, masih tidak mencukupi untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri dan Semenanjung.
Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Industri Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS) Jonathan Chai berkata lebih banyak wang diperlukan untuk menambah baik infrastruktur asas seperti jalan raya, sambungan internet dan penyediaan utiliti di Sarawak walaupun kedudukan kewangan kerajaan persekutuan yang ketat.
“Kami memerlukan pembiayaan tambahan itu untuk merapatkan jurang perbezaan antara Malaysia timur dan Semenanjung.
Seperti juga harapan komuniti perniagaan, Chai berkata beliau berharap belanjawan itu menumpukan kepada pemulihan ekonomi.
Beliau berkata untuk ke arah itu, beliau berharap kerajaan mempunyai beberapa langkah rangsangan, seperti melaksanakan projek yang mempunyai kesan berganda atau limpahan kepada pasaran.
“Saya tidak fikir kita menjangkakan belanjawan yang pemurah dengan permulaan yang suram,” kata Chai, merujuk kepada pendedahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini yang hutang terkumpul negara kini mencecah RM1.5 trilion dan memberi keperluan berjimat bagi perbelanjaan fiskal kerajaan.
Bagaimanapun, Chai berkata beliau akan gembira jika “tiada lagi kejutan” yang cenderung meningkatkan kos perniagaan.
“Walaupun kerajaan akan menghadapi kekangan kewangan dalam menyediakan pembiayaan tambahan untuk pemberian dan insentif, kerajaan boleh melaksanakan dasar, melalui Bank Negara, untuk melonggarkan sekatan pinjaman dan juga moratorium bersasar bagi memudahkan aliran tunai perniagaan.” – 17 Februari 2023.
Komen