PUTRAJAYA perlu mencari kaedah subsidi bersasar dengan pantas jika ia mahu menangani bil subsidi yang semakin bertambah, kata pakar ekonomi.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka mencadangkan supaya kerajaan bermula dengan inisiatif paling mudah terlebih dulu – petrol RON95.
Mereka berkata subsidi lain seperti minyak masak, telur dan ayam boleh dilaksanakan sebaik saja kerajaan dapat mengendalikan subsidi RON95.
Pada Disember tahun lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan akan memperkenalkan mekanisme baharu untuk subsidi bersasar tidak lama lagi, kemungkinan pada 2023.
“Selepas tiga mesyuarat Kabinet, kita perlu mempercepatkan sistem subsidi bersasar berdasarkan indeks,” kata Rafizi pada sidang akhbar di pejabat Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Putrajaya.
“Saya fikir tidak lama lagi, dalam tempoh beberapa bulan, bukannya tahun. Kita akan perlu buat keputusan (untuk ia dilaksanakan) pada 2023,” katanya.
Pensyarah, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata Putrajaya boleh memulakan program subsidi bersasar dengan petrol kerana bahan lain lebih sukar untuk dilaksanakan.
“Program subsidi ini sudah disebut sejak bertahun lalu tetapi pelaksanaannya tidak ada kerana kerajaan masih mencari kaedah yang sempurna.
“Saya cadangkan kerajaan bermula dengan cara kecil dan paling mudah iaitu subsidi petrol. Setiap stesen minyak boleh menyediakan dua atau tiga pam RON95 untuk kenderaan bawah 1,000cc.
“Kenderaan kapasiti lebih tinggi akan dikenakan bayaran RM2.30 seliter, bukannya harga RM2.05,” katanya.
Beliau berkata kerajaan dapat menjimatkan hingga RM20 bilion jika idea itu dapat dilaksanakan.
“Subsidi semasa untuk petrol ialah RM75 bilion setahun. Jika mereka dapat laksanakan subsidi bersasar untuk mereka yang memerlukan, kita dapat jimat RM20 bilion.
“Kumpulan berpendapatan rendah tidak berbelanja banyak untuk petrol, hanya kira-kira RM10 bilion setahun,” katanya.
Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak itu berkata subsidi lan boleh dilaksanakan dalam tempoh setahun selepas program petrol.
“Selepas setahun, kita boleh jalankan program subsidi bahan lain. Mari mulakan dengan petrol dulu kerana ia paling mudah berbanding dengan telur, minyak masak dan ayam,” katanya.
Pada Jun 2022, Kementerian Kewangan berkata kerajaan meramalkan perbelanjaan subsidi ialah RM77.3 bilion, iaitu jumlah subsidi tertinggi pernah ditanggung kerajaan.
Jumlah itu termasuk petrol, diesel, gas (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik, selain bil utiliti (RM9.7 bilion).
Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff senada dengan pandangan itu, berkata kerajaan boleh menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mengenal pasti golongan B40 supaya program subsidi bersasar tidak disalahgunakan.
Pensyarah kanan di Putra Business School (PBS) itu berkata kerajaan juga boleh menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau agensi kewangan kerajaan yang lain untuk membantu program itu dalam mengenal pasti kumpulan B40.
“Petrol paling realistik pada masa ini kerana kita boleh gunakan mekanisme sedia ada untuk mengenal pasti kumpulan berpendapatan rendah.
“Namun untuk minyak masak, ayam atau telur, ia perlukan lebih masa kerana membabitkan pengedar, peniaga, pasar raya besar dan pemegang taruh yang lain.
“Dan bagaimana Putrajaya perlu memastikan ia dapat dinikmati golongan miskin di luar bandar. Jadi, adalah lebih baik mulakan dengan petrol, jika ia berjaya, kerajaan boleh fikirkan alternatif lain,” katanya. – 17 Februari, 2023.
Komen