TIKTOK tidak mempunyai obligasi untuk memberikan akses data pengguna Amerika Syarikat (AS) kepada kerajaan China, kata ketua pegawai eksekutifnya Shou Zi Chew, bagi meyakinkan bahawa aplikasi perkongsian video itu bukan ancaman terhadap keselamatan AS, lapor Sputnik.
“Walaupun mereka (kerajaan China) ada (meminta akses), kami percaya maklumat itu tidak perlu diberikan kerana data pengguna AS tertakluk kepada undang-undang AS,” katanya dalam temu bual dengan The Washington Post yang disiarkan pada Rabu.
Chew berkata kerajaan China juga tidak pernah meminta data pengguna AS daripada TikTok.
Beliau berkata terdapat lebih 100 juta pengguna TikTok di AS.
Pada akhir Januari, Wall Street Journal melaporkan Chew bersetuju memberi penjelasan di Dewan Rakyat pada Mac mengenai hubungan syarikat itu dengan Parti Komunis China dan perlindungan data pengguna.
Pada 2020, pentadbiran bekas presiden AS Donald Trump tidak berjaya mengharamkan media sosial China, termasuk TikTok dan WeChat. Pentadbiran Joe Biden menggugurkan inisiatif ini, tetapi baru-baru ini tekanan ke atas syarikat yang dimiliki oleh ByteDance China semakin meningkat.
Pada Disember lepas, beberapa gabenor AS melarang pegawai negeri masing-masing memasang aplikasi TikTok pada peranti mereka dan di premis kerajaan.
TikTok berkata tidakan itu tidak berasas dan bermotifkan politik. – Bernama, 16 Februari 2023.
Komen