Hasrat ibu bapa Zulfarhan hadir graduasi diganti majlis pengebumian


Muzliza Mustafa

HAWA Osman dan Zulkarnain Idrus sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan anak lelaki mereka mencapai impiannya untuk menyertai tentera laut.

Tiga tahun lalu, mereka memandu sejauh lebih 300km untuk menghantar Zulfarhan Osman, ke Pangkalan Tentera Udara Sungai Besi bagi pemilihan dan latihan memasuki Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Zulkarnain, seorang pemandu teksi, dan Hawa, pembantu pentadbir di sekolah, gembira dan bangga apabila anak sulung mereka diterima. Dalam fikiran sudah terbayang anak mereka berpakaian seragam putih tentera laut.

Apa yang mereka tidak jangkakan adalah anak lelakinya itu akan dituduh mencuri komputer riba dan diseksa sehingga mati, tidak berapa lama sebelum majlis graduasinya sebagai pegawai bertauliah.

Zulfarhan meninggal dunia pada 1 Jun, selepas diseksa dengan seterika wap, tali pinggang dan penyangkut pakaian. 

Polis menahan 36 orang yang terlibat dengan kematiannya yang diklasifikasikan sebagai pembunuhan.

Zulkarnain, 53, hancur luluh apabila menatap jenazah anak lelakinya di rumah mayat.

“Anak saya diseksa, termasuk alat sulitnya. Beliau melecur di seluruh tubuh dari leher hingga ke bawah,” kata bapa di rumah keluarga mereka di Bandar Uda Utama, Johor, semalam.

Zulkarnain berkata anaknya dikenal pasti mengalami kecederaan terbakar peringkat kedua dan ketiga.

“Doktor memberitahu saya kecederaan itu disebabkan seterika wap dan bahagian yang terbakar boleh mengakibatkan dehidrasi dan kegagalan organ utama, yang boleh menjadi punca kematian.”

Zulkarnain kini mencari jawapan motif pembunuhan anaknya, tetapi apa yang ditemuinya membawa kepada lebih banyak persoalan.

Zulkarnain berkata, beliau dan isteri diberitahu Zulfarhan dituduh mencuri sebuah komputer riba.

Mereka diberitahu individu yang melakukan semua ini kepada anaknya pernah meminta bantuan seorang bomoh untuk mengesan dalang yang mencuri komputer ribanya.

“Saya diberitahu bomoh itu memberi nama anak saya kepada pelakunya yang memutuskan untuk mengambil tindakan sendiri. Saya ingin tahu jika ia benar,” kata Zulkairnain.

Tetapi apa yang beliau ingin tahu, mengapa doktor yang merawat kecederaan anaknya sebanyak dua kali tidak mengadukannya kepada polis.

Zulfarhan, pelajar tahun ketiga ijazah Kejuruteraan Elektrik, dipercayai diseksa selama seminggu sebelum meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya.

Ibunya Hawa, 54, berkata ambulans mengambil anaknya dari sebuah rumah kosong di Sepang pada malam beliau meninggal dunia dan hanya berkain sarung.

“Doktor memberitahu saya hal itu. Saya bertanya, siapa yang memasukkannya ke situ? Doktor menyuruh saya merujuk kepada pihak polis yang kini di dalam siasatan,” kata Hawa.

Zulfarhan, anak sulung daripada empat beradik berusia antara 15 hingga 21 tahun, memasuki asrama di Sungai Besi dan bagaimana beliau boleh berada di Sepang masih menjadi misteri.

Kali terakhir Hawa bercakap dengan Zulfarhan adalah beberapa hari sebelum kematiannya. 

Menurutnya, suara Zulfarhan kedengaran berlainan.

“Saya boleh rasa beliau tidak sihat tetapi dinafikan dan memberitahu dalam keadaan baik. Jadi saya berpesan supaya jaga diri.”

Beberapa hari kemudian, hatinya hancur luluh menerima berita kematian anaknya. 

Seperti Zulkairnan, beliau juga mencari jawapan yang membawa kepada pembunuhan kejam anaknya yang digambarkan sebagai seorang yang suka membantu dan berdikari.

Beliau bertanya kepada kawan sepengajian Zulfarhan mengapa mereka tidak melaporkan penganiayaan anaknya kepada pihak berkuasa universiti. 

Mereka berkata takut akan menerima nasib yang sama jika berbuat demikian.

Bagaimanapun, Hawa dan Zulkarnain percaya kebenaran akan terserlah dan keadilan ditegakkan. Jika perlu, mereka akan melantik peguam untuk memastikannya berlaku.

“Saya mahu namanya dibersihkan. Beliau dituduh mencuri komputer riba yang dinafikannya. Mereka menyeksanya tanpa belas kasihan. Nyawa anak saya tidak ternilai, tetapi nampaknya komputer riba lebih berharga daripada nyawanya,” kata Zulkarnain. – 4 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen