Simpanan KWSP susut, kata Ahmad Maslan 


Noel Achariam

MEDIAN simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turun 50% yang sekali gus menyebabkan mustahil bagi membenarkan sebarang pengeluaran lagi, kata Ahmad Maslan kepada Parlimen.

Timbalan menteri kewangan berkata RM145 bilion dikeluarkan daripada KWSP oleh 8.1 juta ahli semasa pandemik Covid-19.

Ahmad berkata median simpanan bagi mereka yang mengeluarkan akaun KWSP mereka menurun sebanyak 50%.

“Median simpanan ahli KWSP dari 2016 ialah RM16,600 dan turun sebanyak 50% kepada RM8,100 pada 2022,” katanya kepada dewan.

Beliau berkata statistik itu lebih membimbangkan apabila wang simpanan orang Melayu dan kumpulan etnik Bumiputera lain diambil kira.

Ahmad berkata median simpanan 7 juta pencarum Melayu menurun dengan ketara daripada RM16,900 pada April 2020, kepada hanya RM5,500.

“Jadi, bagaimana kita boleh membenarkan lebih banyak pengeluaran? Itulah sebabnya (tidak benarkan pengeluaran) dan lebih-lebih lagi wabak Covid-19 sudah berakhir,” katanya kepada dewan.

Minggu lalu, kerajaan berkata tidak akan membenarkan lagi pengeluaran KWSP khas sebagai langkah untuk orang ramai mengatasi masalah kewangan mereka.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata lebih banyak pengeluaran akan menjejaskan pencarum yang akan bersara tidak lama lagi.

Beliau berkata ramai pencarum KWSP mempunyai sedikit simpanan dalam KWSP bagi melalui hari tua.

“Saya boleh saja benarkan mereka keluarkan (simpanan KWSP) kerana ia adalah wang mereka. Tetapi bagi mereka yang hanya tinggal katakan, RM3,000, jika mereka keluarkan RM3,000 sekarang, apa akan jadi kepada keluarga mereka nanti?”

“Mereka yang mempunyai banyak simpanan mungkin tiada masalah tetapi bagaimana dengan mereka yang sebaliknya? Ada yang akan bersara dalam masa dua atau tiga tahun lagi.

“Jadi kami cuba mencari jalan untuk membantu meringankan beban tanpa menjejaskan apabila mereka bersara kelak.”

Di bawah dua pentadbiran yang lalu, empat tahap pengeluaran KWSP dibenarkan dalam tempoh dua tahun untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi pandemik Covid-19.

Orang ramai dibenarkan mengeluarkan lebih RM10,000  tahun lepas, berikutan skim i-Lestari dan i-Sinar pada 2020, dan i-Citra pada Julai 2021. – 16 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen