61 pelarian Rohingya masih bebas, kata Saifuddin


Noel Achariam

Tahun lalu, sebanyak 528 pelarian Rohingya terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak melarikan diri dari pusat tahanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2023.

PIHAK berkuasa masih meneruskan usaha mengesan 61 tahanan Rohingya yang melarikan diri dari depoh imigresen di Kedah pada April lalu, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata pihak berkuasa berjaya menahan semula 461 daripada mereka yang terdiri daripada 331 orang dewasa dan 130 kanak-kanak.

Bagaimanapun, beliau berkata enam tahanan maut dalam kemalangan jalan raya ketika melarikan diri dari pusat tahanan Bandar Baharu.

“Semua tahanan yang ditahan semula dipindahkan ke depot imigresen lain.

“Siasatan polis sudah selesai dan kesemua tahanan terbabit akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), yang meminta maklumat terkini mengenai kes itu.

Tahun lalu, sebanyak 528 pelarian Rohingya terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak melarikan diri dari pusat tahanan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata mereka ditahan di Langkawi pada 2019.

“Seramai 528 orang Rohingya yang ditempatkan di depot imigresen sementara Sungai Bakap pada asalnya ditahan di perairan Langkawi pada 2019.

“Mereka kemudiannya ditempatkan di kem Langkawi Wawasan. Bagaimanapun, kem itu ditutup pada 2021 dan pelarian kemudian dipindahkan ke beberapa depot termasuk Sungai Bakap,” katanya. – 16 Februari, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen