Lina Soo dakwa bekas ahli PSB dalang 'rampasan kuasa' dalam Aspirasi


Desmond Davidson

Lina Soo menegaskan pelucutan jawatannya sebagai presiden Aspirasi tidak sah kerana melanggar perlembagaan parti. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Februari 2023.

LINA Soo yang dilapor dilucutkan jawatan sebagai presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Ahad lalu menuduh ‘rampasan kuasa’ itu didalangi bekas ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Soo memberitahu The Malaysian Insight ada pihak mengambil alih kepimpinan Aspirasi secara tidak sah dan dalangnya adalah John Lau Pang Heng, yang diisytiharkan sebagai presiden baharu.

Lau merupakan calon mewakili PSB dalam pertembungan lima penjuru bagi kerusi DUN Kota Sentosa pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2021. Beliau dilaporkan dipilih sebagai presiden baharu Aspirasi semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) yang dipengerusikan oleh Young pada Ahad lepas.

Young juga bekas ahli PSB dan calon parti itu di kerusi DUN Stakan pada PRN Sarawak 2021. 

Berkenaan rampasan kuasa seperti yang didakwa oleh Soo itu, Young berkata lantikan baharu semasa AGM itu melanggar perlembagaan parti.

Soo bagaimanapun menegaskan beliau masih presiden Aspirasi dan telah melaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung pemecatannya itu.

“George Young mengabaikan semua peraturan dan melanggar perlembagaan parti. Pengambilalihan kepimpinan Aspirasi dilakukan secara tidak sah,” ujarnya.

Tambahnya mesyuarat pada Ahad lalu tidak sah kerana tidak mencukupi korum, dan majoriti yang hadir bukan ahli Aspirasi.

Soo juga berkata George selaku pengerusi Aspirasi menghalangnya daripada bercakap lanjut mengenai korum mesyuarat itu dan menghalaunya keluar dari bilik mesyuarat.

Katanya Young telah melantik Jawatankuasa Majlis Tertinggi baharu parti itu bagi menggantikan ahli yang dipilih pada 2021, yang akan berkhidmat sehingga 2026.

Beliau selain itu menegaskan bahawa dirinya serta Jawatankuasa Majlis Tertinggi parti telah dipilih pada pemilihan parti yang diadakan lima tahun sekali pada 2021 dan akan berkhidmat sehingga 2026.

Menurut Soo, berdasarkan senarai nama jawatankuasa baharu itu, Freedy Mesin (timbalan presiden), David Reddy (naib presiden), Benjamin Lim (timbalan setiausaha agung), Amanda Lee Kin Hui (bendahari agung) dan Susana (timbalan bendahari agung) bukan ahli Aspirasi. – 16 Februari 2023. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen