Masalah kekurangan petugas kesihatan wajar diselesaikan secara kolaboratif


BEBAN untuk memikirkan penyelesaian bagi masalah kekurangan petugas kesihatan awam harus dipikul secara kolaborasi erat antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Ruang penjawatan perlu diwujudkan dahulu. Ia hanya dapat dilakukan sekiranya penyediaan kewangan yang dikhususkan untuk merekrut petugas kesihatan terutamanya doktor kontrak ke penjawatan tetap mencukupi.

Kedua-dua hal tersebut diakui sendiri oleh menteri kesihatan dalam jawapan Parlimen beliau mengenai masalah kesesakan unit kecemasan.

Sebagai legislator, saya tidak mahu melihat kerumitan yang melanda sektor kesihatan awam dijadikan sebagai alat politik bagi sesetengah pihak yang hanya tahu mengkritik, mengherdik dan menunding jari kepada Menteri mahupun Ketua Pengarah Kesihatan.

Kegawatan itu juga tidak boleh diselesaikan dengan perasaan amarah yang didorong dengan tindak tanduk yang boleh merencatkan apa jua usaha ke arah menambah baik ekosistem sektor kesihatan awam.

Saya mengharapkan agar pewujudan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan kesihatan awam dapat disegerakan.

Jawatankuasa Parlimen tersebut boleh merangkumkan idea, pandangan serta komentar Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang dipilih untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.

Biarpun tidak mempunyai “mandate to execute”, sekurang-kurangnya Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut dapat memikirkan ‘ubat’ sementara yang boleh meredakan sedikit kesesakan hospital yang diakibatkan oleh masalah kekurangan petugas.

Kolaborasi itulah yang boleh mengajar kita tentang makna ‘Ihsan’ yang diajar dalam pembinaan Malaysia Madani yang kita semua harus suburkan terutamanya dalam menjayakan pembinaan semula sektor kesihatan awam. – 15 Februari 2023. 

* R. Yuneswaran merupakan ahli Parlimen Segamat


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen