3 pengarah syarikat ditahan kes rasuah RM15 juta


Menurut sumber SPRM, tiga pengarah syarikat itu disyaki terlibat kes rasuah berkaitan projek pembinaan sebuah pangkalan laut di Pahang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pengarah syarikat semalam disyaki terlibat kes rasuah bernilai kira-kira RM15 juta berkaitan projek pembinaan sebuah pangkalan laut di Pahang. 

Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun berkenaan ditahan kira-kira 8.30 malam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

“Lelaki pertama dipercayai seorang pengarah syarikat yang melobi projek pembinaan tersebut manakala dua lagi disyaki meminta serta menerima rasuah kononnya untuk diserahkan kepada seorang bekas menteri,” katanya.

Sumber berkata Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya ke atas kesemua individu berkenaan selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut. 

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009. – Bernama, 15 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen