MUHYIDDIN Yassin memberi amaran tindakan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang cuba memburuk-burukkan imej Perikatan Nasional (PN) akan mencetus kritikan dan kemarahan rakyat menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.
Pengerusi PN itu berkata tuduhan ke atas dirinya dan gabungan itu berniat jahat dan sengaja diada-adakan untuk menghasut rakyat.
“Saya perhatikan kepimpinan kerajaan hari ini agak cenderung mengambil tindakan berbentuk ‘witch hunting’. Kesalahan kerajaan terdahulu yang tak wujud dicari-cari. Mungkin kerana ada enam PRN kita akan hadapi.
“Sekarang ini kalau boleh dihitamkan muka saya, dia kata kita semua ini perompak dan lanun supaya rakyat tak sokong kita tapi saya percaya gelombang Perikatan Nasional yang sudahpun kita lihat PRU15 akan terus melanda enam buah negeri. Kita akan tarah.
“There will be backlash. Saya nak beri amaran. Jadi jangan main-main, ini sentimen rakyat, bukan kami sahaja. Rakyat berjuta sana melihat telatah kerajaan hari ini bersikap niat jahat,” kata ahli Parlimen Pagoh itu ketika membahaskan titah Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Muhyiddin dalam pada itu berkata tumpuan kerajaan waktu ini harus tertumpu kepada usaha untuk membantu rakyat terutamanya golongan rentan menghadapi beban kos sara hidup yang tinggi.
Beliau menyorot kembali kepada kenyataan Anwar ketika awal penubuhan kerajaan perpaduan yang berjanji akan mengemukakan langkah-langkah komprehensif untuk menangani masalah kos sara hidup dalam tempoh dua minggu.
“Sekarang ini dah menjangkau hampir tiga bulan, Tuan Yang Dipertua. Saya masih belum nampak sebarang langkah yang konkrit dan komprehensif yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup rakyat.
“Dengarlah suara rakyat yang mahukan pembelaan. Misalnya, apalah salahnya kalau kerajaan mempertimbangkan sekali lagi pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya ini adalah kehendak rakyat untuk membantu meringankan beban mereka di kala susah. Bukan duit kerajaan, (tetapi) duit rakyat,” katanya. – 15 Februari 2023.
Komen