POLIS masih menyiasat kematian pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) S Vinosiny yang meninggal dunia di biliknya di kampus institusi pengajian tinggi itu tahun lalu.
Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata pihak polis masih belum mengemukakan sebarang maklumat baharu berkaitan kematian pelajar berusia 20 tahun itu.
“Terlebih dahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekali lagi menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Vinosiny Sivakumar.
“Kementerian Pendidikan Tinggi ingin memaklumkan bahawa kes kematian mendiang S Vinosiny masih dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Setakat ini pihak kementerian belum dimaklumkan dengan hasil siasatan dan tidak akan mengulas dengan lebih lanjut,’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan dibangkitkan V Ganabatirau (Pakatan Harapan-Klang) berkait status siasatan kes kematian pelajar itu.
Mendiang merupakan pelajar semester empat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Informasi) ditemukan meninggal dunia pada 21 Mei tahun lalu.
Keluarganya mengesyaki pelajar berusia 20 tahun itu terkena renjatan elektrik dan membuat laporan polis terhadap UUM atas dakwaan kecuaian.
Khaled berkata kementeriannya memandang serius soal kebajikan dan keselamatan pelajar malah sudah mengambil beberapa langkah penambahbaikan di semua kampus universiti awam susulan kematian Vonisiny.
Katanya ia termasuk meminta semua universiti awam menilai semula aspek keselamatan dan memperkukuhkan aspek tadbir urus dan penyelenggaraan bangunan. – 15 Februari, 2023.
Komen