Aktivis sosial Heidy Quah tidak akan didakwa esok


Ravin Palanisamy

Heidy Quah berkata beliau tidak akan didakwa di mahkamah esok berhubung catatan di Facebook yang ditulis kira-kira tiga tahun lalu mengenai pengalaman bekas tahanan imigresen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2023.

PENGASAS Refuge for the Refugees Heidy Quah berkata beliau tidak akan didakwa di mahkamah esok berhubung catatan di Facebook yang ditulis kira-kira tiga tahun lalu mengenai pengalaman bekas tahanan imigresen.

Aktivis hak pelarian itu memberitahu The Malaysian Insight beliau baru dimaklumkan oleh pegawai penyiasat untuk tidak perlu lagi hadir ke Mahkamah Jenayah Siber di Jalan Duta, Kuala Lumpur esok.

“Baru disahkan bahawa mereka tidak akan mendakwa saya esok. 

“Pegawai penyiasat menghubungi saya kira-kira sejam yang lalu, kemudian pejabat Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said serta pejabat Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching menghubungi saya untuk mengesahkan berita itu,” kata Quah kepada TMI.

Awal hari ini Quah meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap kerajaan perpaduan yang baharu kerana mendakwanya semula berhubung catatan di Facebook yang ditulis kira-kira tiga tahun lalu mengenai pengalaman bekas tahanan imigresen.

Wanita berusia 28 tahun itu berkata beliau akan didakwa semula di Mahkamah Jenayah Siber di Jalan Duta, Kuala Lumpur mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Quah menegaskan beliau cuba menghubungi kementerian berkaitan untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu tetapi tidak berjaya.

“Saya belum mendapat kertas pertuduhan tetapi saya diberitahu oleh pegawai penyiasat (IO) ia berhubung pertuduhan yang sama.

“Saya dimaklumkan mengenai perkara ini (didakwa) dua minggu lalu tetapi kami mahu mengambil masa untuk menghubungi kementerian berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan juga Jabatan Peguam Negara.

“Kami cuba tetapi tidak mendapat sebarang jawapan. Jadi, kami akan ke mahkamah esok,” kata Quah.

Quah dihadapkan ke mahkamah berhubung hantara di Facebook yang ditulisnya pada 5 Jun 2020, memperincikan pengalaman seorang tahanan di pusat tahanan imigresen.

Artikel itu keluar ketika pihak berkuasa mengumpulkan pendatang tanpa izin sebagai langkah untuk membendung jangkitan Covid-19. 

Beliau didakwa di bawah undang-undang multimedia kerana memulakan penyebaran, sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung watak dengan niat untuk menjengkelkan, menyalahgunakan, mengugut atau mengganggu orang lain.

Quah, penerima Anugerah Wanita Masa Hadapan dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen tahun lepas.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim MM Edwin Paramjothy selepas membenarkan bantahan awal difailkan oleh Quah yang menyatakan pertuduhan terhadapnya adalah cacat dan tidak mematuhi kehendak Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 152 hingga 154 Penjenayah Kod Prosedur. – 14 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen