36 bakal calon pilihan raya dedah aset untuk dana kempen, bantuan 


Chan Kok Leong

Pemimpin Pakatan Harapan menunjukkan perjanjian yang ditandatangani pada satu acara yang diadakan di Subang Jaya malam ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Mac, 2018. 

TIGA puluh enam lagi calon pilihan raya mengisytiharkan aset mereka sebagai pertukaran untuk pembiayaan kempen dan bantuan daripada Invoke Malaysia.

Calon-calon terbabit juga berjanji akan meneruskan agenda perubahan sekiranya dipilih. 

Di bawah syarat perjanjian berkenaan, setiap calon perlu membayar kepada Invoke RM20 juta sekiranya mereka gagal menghormati kontrak. 

Antara nama-nama besar yang menandatangani perjanjian dengan Invoke malam ini adalah presiden Amanah Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin, bekas ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, bekas menteri besar perak Nizar Jamaluddin, bekas speaker Pulau Pinang Abdul Halim Hussain dan pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil. 

Akaun peribadi aset calon turut dipaparkan pada skrin besar pada majlis menandatangi perjanjian itu yang diadakan di Subang Jaya malam ini. 

Penyata akaun Mohamad Sabu menunjukkan beliau memiliki RM400,000, amanah saham, sebuah rumah dan pinjaman perumahan dengan Bank Islam. 

Invoke berkata pengisytiharan aset itu boleh diakses menerusi laman webnya

Ketua Invoke yang juga ahli Parlimen Pandan dan naib presiden PKR, Rafizi Ramli berkata projek berkenaan adalah bagi menggalakkan lebih ramai ahli politik mengisytiharkan aset mereka sebelum pilihan raya berlangsung. 

“Kami mahu menerapkan budaya kepada mereka yang akan menyertai perkhidmatan awam untuk memiliki tabiat mengisytiharkan aset mereka sebelum bertanding. 

“Perbezaan perkara ini dengan pengisytiharan aset kepada SPRM atau kepada parti sahaja adalah ia dibuat secara umum dan pengundi berpeluang untuk menilai calon sebelum mereka memilih. 

“Apabila pengisytiharan itu hanya dibuat kepada parti ia boleh digunakan untuk memaksa ahli Parlimen nanti,” katanya. 

Katanya, ia membenarkan pengundi untuk menilai sama ada harta seseorang calon itu “munasabah”.

“Ini adalah salah satu langkah untuk menghalang rasuah kerana pengundi boleh membandingkan aset mereka sebelum dan selepas menjadi ahli Parlimen atau menteri,” tambahnya. 

Seramai 103 yang akan menjadi calon menandatangani perjanjian dengan Invoke untuk mengisytiharkan harta mereka, termasuk 27 ahli politik yang menandatangani perjanjian itu pada 20 November. – 13 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen