Tiada masalah PM pegang portfolio kewangan, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perpaduannya akan menggunakan segala usaha mereka untuk membendung gejala rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2023.

PERDANA Menteri menerajui portfolio Kementerian Kewangan tidak menjadi isu selagi kuasa itu tidak disalahgunakan, kata Anwar Ibrahim kepada Parlimen.

Katanya, isu itu hanya timbul apabila seseorang itu menyalahgunakan kedudukan untuk memperkayakan diri.

“Dalam sejarah kita, sama ada ia (jawatan perdana menteri dan menteri kewangan) digabungkan tidak menjadi masalah.

“Masalahnya ialah menggunakan kedudukan untuk merompak kekayaan rakyat dan ini terpakai dalam banyak kalangan,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.

Anwar menjawab soalan Radzi Jidin (PN - Putrajaya), yang bertanya sama ada perdana menteri yang memegang portfolio Kementerian Kewangan boleh membawa kepada skandal kewangan seperti yang berlaku semasa pentadbiran Najib Razak.

Semasa pentadbiran Najib, yang kini dipenjarakan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, beliau memegang kedua-dua portfolio itu, yang membawa kepada skandal kewangan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International, antara lain.

Anwar berkata, kerajaan perpaduannya akan menggunakan segala usaha mereka untuk membendung gejala rasuah yang berleluasa di negara ini.

“Mereka yang bersih, sama ada duduk di sini (pihak kerajaan) atau di sana (bangku pembangkang), jangan risau.

“Mereka yang terlibat dengan rasuah sepatutnya bimbang kerana saya berazam walau apa pun yang dilakukan, saya berazam untuk menggunakan segala usaha saya untuk menghapuskan rasuah,” katanya.

Anwar, yang memegang portfolio Kewangan, mengakui terdapat skandal kewangan semasa kerajaan Barisan Nasional lalu tetapi beliau juga tidak menolak dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Semasa pentadbiran PN juga ada skandal seperti projek tebatan banjir dan lain-lain. Ada beberapa ketirisan lain yang turut disiasat.

“Biar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasa menjalankan siasatan mereka.

“Sama ada terdapat kesan undang-undang nanti, itu adalah keputusan Peguam Negara.

“Sabar, mungkin akan ada berita baik tidak lama lagi, untuk rakyat,” katanya. – 14 Februari, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen