RUNDINGAN antara Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Cina Sabah (PCS) mengenai pembahagian kerusi pilihan raya menemui jalan buntu lantaran keengganan Warisan bersikap adil, kata pemimpin PCS, Wilfred Bumburing hari ini.
Beliau berkata Warisan mahu bertanding dalam 42 daripada 60 kerusi DUN, iaitu sebanyak 70% dan menasihatkan partinya supaya hanya mengambil enam kerusi DUN, manakala selebihnya untuk parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Wilfred merasakan Presiden Warisan Shafie Apdal bersikap tamak dan cuba mendominasi parti pembangkang serta PH.
“Kami adakan beberapa pertemuan termasuk saya dan presiden Warisan Shafie Apdal tetapi mereka (pemimpin Warisan) fikir mereka ada kuasa penuh untuk tentukan pembahagian kerusi.
“Kalau Umno boleh bertanding dalam 31 kerusi dan berkongsi selebihnya dengan parti komponen Barisan Nasional yang lain, kenapa Warisan tak boleh buat perkara sama?” katanya kepada The Malaysian Insight.
Parti Cinta Sabah dan Warisan sepatutnya membentuk pakatan pilihan raya bersama PH di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli baru-baru ini menyelar Warisan dengan berkata tidak ada parti pembangkang yang dominan di Sabah dan tiada parti yang boleh bertanding lebih daripada 50% kerusi di Sabah.
Sabah mempunyai 60 kerusi DUN dan 25 kerusi Parlimen.
Dalam responsnya, Shafie berkata beliau tidak akan mengalah kepada sebuah parti yang berasaskan kaum yang hanya mahu memperjuangkan kaum mereka sendiri, dan menegaskan satu-satunya formula untuk memenangi pilihan raya ialah dengan meletakkan “calon yang boleh menang”.
Wilfred berkata pembangkang mesti mampu menawarkan rakyat Sabah satu perjajian yang lebih baik daripada BN dan beliau sembelum ini telah mencadangkan Shafie supaya mencontohi formula pembahagian kerusi PH.
Daripada mencari penyelesaian, Shafie sebaliknya tidak bersetuju, dan Wlfred berkata Shafie menuduhnya bertemu (perdana menteri) Najib Razak dan menyindir yang partinya ditaja oleh BN atau mesra BN seperti tuduhan sama yang dilemparkan kepada Gabungan Sabah.
“Kalau begini, Warisan tak akan menang pilihan raya. Walaupun saya berharap dia akan berfikir secara waras sebelum pilihan raya,” kata Wilfred. – 13 Mac, 2018.
Komen