Tiada tempoh masa untuk Menu Rahmah, kata Salahuddin


Alfian Z.M. Tahir

Menu Rahmah ialah sajian makan tengahari atau makan malam seimbang yang merangkumi nasi, pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayur-sayuran pada harga yang sangat berpatutan iaitu RM5 sepinggan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2023.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerahkan kepada pemain industri untuk meneruskan pelaksanaan Menu Rahmah tetapi yang paling penting tiada rakyat yang berlapar.

Menterinya Salahuddin Ayub berkata kementeriannya tidak akan menggunakan tempoh tiga bulan itu sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) berikutan pelaksanaan sukarela inisiatif Menu Rahmah oleh industri.

“Kita tidak mengambil itu sebagai KPI apa yang penting ketika ini adalah kerajaan khususnya kementerian mengambil pendekatan terbaik untuk memastikan tidak ada rakyat Malaysia yang berlapar.

“Selagi mana kebajikan ini sanggup diteruskan oleh pemain industri, sepanjang itulah Menu Rahmah akan dapat diberikan kepada rakyat dalam negara kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri tinjauan Menu Rahmah di sebuah restoran kandar di Cheras di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini Salahuddin memulakan program Jelajah Menu Rahmah dari negeri ke negeri dengan pelancaran berlangsung di Johor pada 9 Februari lalu.

Program jelajah seterusnya akan diadakan di Perlis esok.

Salahuddin berkata KPDN turut mengalu-alukan pengusaha restoran mendaftar Menu Rahmah di pejabat KPDN negeri bagi membantu mempromosikan restoran berkenaan.

Menu Rahmah ialah sajian makan tengahari atau makan malam seimbang yang merangkumi nasi, pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayur-sayuran pada harga yang sangat berpatutan iaitu RM5 sepinggan.

Katanya kerajaan khususnya KPDN akan terus mengambil pendekatan terbaik agar tiada rakyat di negara ini kelaparan.

Dalam pada itu beliau tidak menafikan dakwaan segelintir pihak Menu Rahmah adalah ulangan daripada menu bajet.

“Saya tidak menafikan dakwaan itu kerana yang baik itu baik. Jadi program itu dipanjangkan dan kita tidak pernah cemburu dengan usaha yang baik.

“Walaupun ada usahawan yang tidak menamakan menu mereka sebagai Menu Rahmah, tidak mengapa asalkan perut rakyat terisi,” katanya.

Sementara itu Salahuddin berkata sesi bersama pengusaha restoran bagi mempromosikan Menu Rahmah melalui platform direktori yang akan diwujudkan kerajaan supaya rakyat boleh mendapatkan menu tersebut di lokasi berhampiran mereka. – 13 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen