Malaysia Madani: Isu pengukuhan teras tamadun Malaysia


MALAYSIA memang terkenal sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama yang agak unik.  Sistem pluralisme yang diwujudkan sejak tertubuhnya Malaya dan kemudiannya Malaysia masih mampu bertahan.

Setelah lebih enam dekad berlalu ada baiknya sistem itu dikaji semula bagi memantapkan lagi sistem tersebut demi menjamin kekukuhan teras tamadun  Malaysia yang dapat diterima oleh semua kumpulan etnik dan agama.

Prinsip yang  mendasari sistem pluralisme itu boleh diubahsuai supaya ia kelihatan bersifat lebih universal dan lebih adil lagi dan dengan itu akan menjadi lebih kukuh dan lebih mantap lagi.

Tetapi tradisi pendekataan keMalaysiaan dalam menangani isu besar yang melibatkan  kepentingan semua kelompok etnik dan agama, iaitu permuafakatan, yang menonjolkan  hikmah kolektif bangsa dan negara dan membawa banyak kebaikan selama ini haruslah  dikekalkan serta dipelihara dengan baik.

Makalah ini akan menghuraikan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan teras tamadun Malaysia dan bagaimana sistem kemajmukan atau pluralisme di negara ini dapat diperkukuhkan lagi.

Kunci kekuatan dan kegemilangan tamadun Malaysia pada masa hadapan terletak pada kejayaan rakyatnya yang berbilang kaum dan negara untuk mencapai  kesepakatan dalam merumuskan serta membina dimensi universal tamadun tersebut yang  boleh dibanggakan sebagai kepunyaan bersama semua rakyat.

Pada masa sama, ia  terletak pada kesediaan setiap kelompok etnik dan agama untuk menghormati dan bersikap toleran terhadap budaya dan tamadun kelompok lain. Setiap budaya dan tamadun yang terkhusus bagi sesuatu kelompok etnik dan agama seharusnya mendapat tempat dan diterima dengan lapang dada sebagai dimensi partikular tamadun Malaysia.

Dalam konteks masyarakat dan negara berbilang kaum dan agama, teras tamadunnya haruslah dibentuk dari unsur universal, iaitu unsur yang diterima sebagai  kepunyaan semua kaum dan semua agama. Hanya dengan cara demikian saja sesuatu teras tamadun itu boleh menjadi penyatu yang berkesan. Tamadun Malaysia kontemporari mempunyai teras tersendiri.

Unsur utama teras ini disepakati semua kaum dan agama pada ketika Malaya dan Malaysia ditubuhkan dulu.

Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan atau agama rasmi negara di samping kebebasan untuk agama lain, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara di samping memberi tempat yang adil untuk bahasa lain berkembang, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan hak kerakyatan dan kewarganegaraan di sisi undang-undang bagi rakyat bukan Melayu dan bukan bumiputera  adalah unsur utama teras tamadun Malaysia yang dipersetujui itu. 

Kebanyakan unsur teras ini pada asalnya berpunca daripada tamadun Melayu Islam. Maka kewajaran penerimaannya enam puluh lima tahun yang lalu dalam kes Malaya dan hampir 60 tahun dalam kes Malaysia lebih banyak disandarkan pada pertimbangan sejarah daripada disandarkan pada pertimbangan lain.

Pada hemat penulis, amat mustahak kesinambungan teras tamadun Malaysia dipertahankan dan terus dipelihara. Tetapi pada masa sama harus difikirkan bagaimana teras ini boleh diperkukuhkan sama ada dengan cara menambah unsur universal baru atau menyemak semula interpretasi penerimaan rakyat terhadap unsur teras lama tertentu.

Penerimaan rakyat Malaysia terhadap unsur ini termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Tetapi lebih 60 tahun kemudiannya ada pihak yang mempertikaikan kewajaran teras lama ini dipertahankan.

Mereka mahu teras ini dibuang dan digantikan dengan teras baru supaya ia lebih adil kepada kaum bukan Melayu dan agama bukan Islam. Timbulnya reaksi seperti ini terhadap teras asal tamadun Malaysia bukanlah suatu perkara yang memeranjatkan.

Dari suatu segi, kita cukup memahaminya kerana setelah berlalunya lebih enam dekad kemerdekaan ternyata banyak perkembangan dan kemajuan yang berlaku di negara ini yang antara lainnya dimungkinkan oleh kemunasabahan dan kekuatan teras asal itu sendiri.

Terdapat banyak masalah dan ketidakadilan dewasa ini yang bukan saja dialami kaum bukan Melayu tetapi juga oleh orang Melayu. Tidak harus dilupakan juga ialah pengaruh idea dan fahaman daripada luar negara.

Keterbukaan negara ini kepada pengaruh dunia luar, terutamanya dari negara Barat apatah lagi di zaman globalisasi, meninggalkan kesan besar ke atas pemikiran dan cara berfikir golongan terdidik rakyat Malaysia.

Isu yang diilhamkan dan dicanangkan di Barat seperti isu hak asasi manusia, isu demokrasi dan pendemokrasian, isu pluralisme keagamaan dan isu “ancaman Islam” yang lumrahnya ditelek dari kaca mata orang Barat turut mempengaruhi pemikiran politik dan wacana intelektual rakyat Malaysia.

Oleh kerana idea dan masalah baru yang timbul dalam masyarakat tidak ditangani dengan bijaksana sedangkan sesetengah idea dan masalah baru itu serius sifatnya dan boleh mempunyai implikasi besar kepada negara, maka  kekeliruan dan juga ketidakpuasan terhadap teras tamadun dan institusi asas negara semakin menular dan berleluasa.

Demi kebaikan dan kesejahteraan Malaysia, kritikan baru terhadap teras asal tamadun Malaysia harus dilayani dengan saksama dan bijaksana, dan bukan dipandang remeh atau sekadar dicemuhi tanpa hujah yang meyakinkan.

Kritikan ini sebenarnya mewajarkan kita untuk memikirkan hujah baru bagi menegakkan kebenaran fakta lama yang mula disangsikan itu.

Unsur teras tamadun Malaysia yang saya sebutkan tadi memang masih wajar untuk diteruskan tetapi kewajarannya mesti dipertahankan dengan mengemukakan hujah baru yang mengambil kira lebih 60 pembangunan dan kemajuan negara dan dampak globalisasi.

Di antara unsur ini ternyata kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan hak istimewa bangsa Melayu dan kaum bumiputera merupakan isu paling banyak diperkatakan di kalangan orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Dalam masa kebelakangan ini isu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara lebih banyak dibicarakan di kalangan orang Melayu. Mereka cukup bimbang dengan masa depan kedudukan dan peranan bahasa Melayu terutamanya sebagai bahasa ilmu pengetahuan.

Malahan mereka melihat adanya ancaman terhadap bahasa Melayu. Adalah wajar rasa kebimbangan ini dibincangkan masyarakat Melayu terutamanya di kalangan cendekiawan dan pemimpinnya.

Namun, isu kedudakan dan kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara hendaklah dilihat sebagai isu ketamadunan seluruh Malaysia dan bukannya isu masyarakat Melayu sahaja.

Menyentuh kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara, ia tidak harus  dipertahankan oleh masyarakat Melayu Islam atas alasan sejarah semata-mata, iaitu dengan hujah Islam sudah bertapak di negara ini lama sebelum tibanya kaum pendatang dari India dan Cina yang majoritinya berlainan agama.

Pertimbangan sejarah mempunyai nilai tersendiri tetapi biasanya hujah yang berasaskan fakta sejarah saja didapati mudah kehilangan daya tarikannya, lalu terhakis daripada memori kolektif  rakyat.

Generasi muda semakin buta sejarah. Peranan penting sejarah dalam mencorakkan pembinaan teras asal negara dan tamadun Malaysia kurang mendapat tempat dalam pemikiran mereka. Kita harus memberi perhatian terhadap perkembangan pemikiran generasi muda ini dan menanganinya dengan menyampaikan pemikiran yang lebih baik lagi progresif.

Ini tidak bermakna pertimbangan sejarah dibiarkan sehingga diketepikan. Kita harus terus menerus memberi pendidikan sejarah yang relevan kepada pembangunan Malaysia kepada generasi muda. Tetapi pada masa yang sama kita harus menyedari keterbatasan keberkesanan hujah yang berorientasikan sejarah. 

Pertimbangan kependudukan atau demografik juga penting. Memang kedudukan Islam sebagai agama rasmi boleh diwajarkan menerusi hujah demografik, iaitu agama ini dianuti masyarakat majoriti Malaysia.

Namun, pada hemat penulis, hujah paling bernilai adalah sebenarnya hujah yang merujuk kepada nilai dalaman atau nilai intrinsik agama Isam itu sendiri. Islam mengandungi nilai universal terbanyak dan termoden ungkapannya berbanding agama lain – yang sesetengahnya dimiliki bersama – yang boleh memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan tamadun Malaysia seluruhnya.

Sekiranya kita ingin mewujudkan teras tamadun Malaysia yang bersifat universal atau  melebarkan teras yang ada supaya lebih universal sifatnya, maka Islam boleh memainkan peranan penting.

Dengan kekayaan sumber kerohanian dan intelektualnya dan peranan positifnya yang bersifat inklusif dalam pembangunan tamadun umat manusia di zaman lampau termasuklah kejayaannya dalam menangani isu kemajmukan dan kepelbagaian etnik dan agama seperti yang pernah ditegaskan dan dikagumi ahli sejarah terkenal berbangsa  Inggeris, Arnold Toynbee, Islam mampu memberi sumbangan besar kepada pembangunan masa depan tamadun Malaysia yang menguntungkan semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Tetapi itu hanya boleh menjadi kenyataan sekiranya masyarakat Melayu Islam sanggup mengubah paradigma pemikiran mereka dengan menonjolkan dimensi universal ajaran Islam. Ini juga bermakna mereka mesti menghayati dialog budaya dengan masyarakat bukan Islam.

Umat Islam di Malaysia juga harus menonjolkan ajaran Islam tentang keadilan sosial. Keadilan sosial seharusnya mencirikan tamadun Malaysia. Dalam hal ini, isu hak istimewa kaum Melayu dan Bumiputera yang kian dipertikaikan dalam masyarakat harus dibincangkan dalam konteks ajaran universal agama Islam yang menekankan prinsip keadilan sosial. Tetapi apa juga ketidakpuasan di kalangan rakyat Malaysia terhadap mana-mana unsur pada teras asal tamadun Malaysia haruslah dibincangkan dengan semangat permuafakatan.

Permuafakatan itu sendiri harus menjadi sebahagian penting daripada budaya dan tamadun  Malaysia.

Pada umumnya, bolehlah dikatakan menerusi penghayatan ajaran  Islam yang universal dan falsafah keadilan sosialnya yang melampaui batasan kaum dan agama, Islam boleh memberi sumbangan besar lagi bererti kepada penghayatan cita-cita “kesatuan dalam kepelbagaian” dalam pembangunan tamadun Malaysia. – 13 Februari, 2023.

* Osman Bakar adalah pembaca The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen