Jangan silap buat belanjawan, amaran pakar kepada Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu dapat memberi jaminan kepada orang ramai pentadbiran beliau boleh menjaga kesejahteraan mereka, kata pakar ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2023.

KEYAKINAN terhadap kerajaan perpaduan boleh luntur jika Putrajaya gagal memenuhi jangkaan rakyat dalam belanjawan akan datang, kata seorang pakar ekonomi dan pemerhati politik.

Mereka berkata terdapat banyak cabaran yang menanti kerajaan dalam memenuhi keperluan setiap warganegara memandangkan keadaan kewangan dan ekonomi semasa.

Kedua-dua pakar memberitahu The Malaysian Insight Anwar Ibrahim mesti dapat memberi jaminan kepada orang ramai pentadbiran beliau boleh menjaga kesejahteraan mereka.

Pakar ekonomi Dr Barjoyai Bardai berkata persepsi orang ramai terhadap Putrajaya kini berada pada tahap yang tinggi.

Namun pemahaman positif itu boleh bertukar kepada pandangan negatif sekiranya kerajaan Anwar gagal melaksanakannya.

Ahli akademik itu juga tidak sabar untuk melihat bagaimana Anwar akan mengotakan janjinya untuk memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan bukannya mengutamakan pembangunan.

“Perdana menteri menekankan kepentingan kesejahteraan rakyat berbanding pembangunan pesat. Beliau mahu menyusun semula ekonomi dan subsidi. Ia satu aspek yang menarik.

“Bagaimana beliau akan mengagihkan kekayaan negara dan apakah jenis langkah penjimatan yang akan beliau laksanakan.

“Jika belanjawan ini mengecewakan, kepercayaan itu boleh berubah, walaupun kini nampaknya beliau mendapat sokongan majoriti,” kata ahli akademik di Universiti Tun Abdul Razak itu.

Awal minggu ini, Anwar berkata Belanjawan 2023 yang ditetapkan untuk dibentangkan semula pada 24 Februari akan mengambil kira cabaran ekonomi semasa di samping menyasarkan untuk memacu pertumbuhan dan menarik pelaburan.

Menteri Kewangan Anwar Ibrahim akan membentangkan semula Belanjawan 2023 di Parlimen pada 24 Februari susulan pembentukan kerajaan perpaduan selepas PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2023.

Anwar, yang juga menteri kewangan berkata kerajaan juga sedang melihat untuk meningkatkan daya saing, mempercepatkan kelulusan perniagaan, pendigitalan dan penggunaan mampan serta pengeluaran sumber asli dengan belanjawan itu.

“Tiada sesiapa yang sepatutnya berasa ketinggalan dan diabaikan,” katanya.

Turut bersetuju dengan pandangan Barjoyai adalah Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia.

Pensyarah kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak itu berkata satu lagi halangan kepada Anwar adalah hutang negara yang tinggi mencecah RM1.5 trilion.

“Satu strategi yang beliau boleh tingkatkan ekonomi Malaysia adalah dengan membawa masuk lebih ramai pelabur dan beliau sendiri menyatakan akan melakukan perkara ini.

“Kos sara hidup yang tinggi adalah satu kenyataan dan ramai yang bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan bantuan. Sebab itu ramai yang menggesa pengeluaran KWSP sekali lagi.”

Pembentangan belanjawan yang akan datang, menurut Mazlan, perlu menangani isu membabitkan golongan miskin bandar dan miskin tegar.

“Sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah untuk membantu golongan miskin tanpa mengira status pendapatan mereka, kerajaan perpaduan ini sukar untuk memenangi hati rakyat.

“Walaupun ada beberapa langkah yang diambil seperti program Menu Rahmah, masih banyak yang perlu dilakukan. Salah satu caranya mungkin mereka boleh mengurangkan kadar cukai bagi M40,” katanya. – 13 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen