Ribuan guru di Portugal sertai protes tuntut naik gaji


Ribuan guru berhimpun bagi menuntut gaji lebih baik dan menentang rancangan kerajaan untuk sistem pengambilan baharu di Lisbon. – Gambar AFP, 12 Februari, 2023.

RIBUAN guru dari seluruh Portugal berarak melalui jalan-jalan di Lisbon pada Sabtu dalam pusingan protes terbaru menuntut gaji lebih tinggi dan keadaan kerja yang lebih baik.

Lebih 150,000 orang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu, menurut Persekutuan Perguruan Kebangsaan (Fenprof), kesatuan utama profesion itu.

“Ini mungkin demonstrasi terbesar guru di Portugal,” kata Setiausaha Agung Fenprof Mario Nogueira.

“Kami sangat marah,” kata Augusto Figueiredo, seorang guru teknologi dari Rio Maior, kira-kira 100km di utara Lisbon, kepada AFP.

“Gaji yang menyedihkan, penilaian diskriminasi, jadual yang tidak berperikemanusiaan… ini adalah realiti profesion kami hari ini,” tambah lelaki berusia 64 tahun itu.

“Kami benar-benar letih, tiada siapa yang mendengar kami, kerajaan ini perlu mendengar kami,” Joao Tristao, seorang guru sukan, memberitahu AFPTV.

Guru meminta penambahbaikan dari segi perjawatan dan kemajuan kerjaya, serta gaji agar seiring dengan inflasi.

Mereka juga mahu waktu bekerja sebenar diambil kira.

“Masa bekerja ini mesti diiktiraf,” kata Maria da Luz Ribeiro, seorang guru bahasa Inggeris yang bimbang mengenai masa depan guru dan sekolah di Portugal.

“Saya terpaksa bekerja lebih lama untuk cuba menambah baik pencen saya,” kata lelaki berusia 68 tahun itu, yang berhenti kerja tahun lalu.

Demonstrasi nasional pada Sabtu dibuat selepas beberapa siri bantahan dan mogok bergilir mengikut wilayah, yang menyebabkan penutupan sekolah.

Kementerian Pendidikan menegaskan gerakan mogok guru sudah hilang kekuatan sejak akhir Januari lalu.

Kementerian itu akan bertemu kesatuan sekerja untuk pusingan baharu rundingan minggu depan. – AFP, 12 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen