Politik Malaysia lebih sekadar Dr Mahathir, Anwar, kata Zunar


Diyana Ibrahim

Kartunis aktivis Zunar berkata perjuangan reformasi di negara ini bukanlah menentang individu tetapi kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 13 Mac, 2018. 

POLITIK di Malaysia ini bukan hanya berkisar pada krisis antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim 20 tahun lalu sahaja tetapi melangkau kepada isu yang lebih besar iaitu menumbangkan rejim Barisan Nasional, kata kartunis aktivis Zunar.

Krisis antara dua pemimpin itu juga sudah selesai kerana mereka sudah melupakan apa yang berlaku 20 tahun lalu dan menumpukan kepada apa yang ada di depan, katanya.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar Haque berkata kalau antara dua pemimpin itu sudah boleh menerima satu sama lain dan bermaaf-maafan, kenapa perkara yang sama tidak boleh diterima oleh pejuang reformasi lain.

“Perjuangan reformasi di negara ini bukanlah menentang individu tetapi kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan.

“Perjuangan reformasi tidak pernah berubah dari 1998 sampai sekarang iaitu untuk menjatuhkan Umno dan BN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Zunar mengulas kenyataan Dr Mahathir beliau tidak sepatutnya memecat Anwar pada September 1998, dalam satu wawancara dengan akhbar berbahasa Mandarin, Sin Chew Daily semalam.

“Kenyataan Dr Mahathir itu akan dapat merungkai bukan saja krisis antara beliau dan Anwar tetapi juga kesan akibat konflik dua puluh tahun itu.

“Dr Mahathir bersedia mengetepikan ego demi matlamat yang sama, menjatuhkan Umno BN bagi menyelamatkan negara.

“Kenyataan ini wajar disambut baik,” tambahnya.

Dalam wawancara dengan Sin Chew, Dr Mahathir berkata tindakan memecat Anwar itu satu kesilapan dari segi politik tetapi beliau tiada pilihan kerana ia dibuat mengikut undang-undang, berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan oleh polis.

Anwar, ketika itu timbalan perdana menteri, dipecat daripada kerajaan dan kemudian parti bersabit dakwaan terlibat dalam jenayah liwat pada 2 September 1998. Beliau bagaimanapun dibebaskan oleh mahkamah selepas perbicaraan.

Kedua-dua pemimpin itu kemudian bertemu buat pertama kalinya sejak episod 1998 itu di mahkamah pada 6 September 2016, sebelum Dr Mahathir mengetuai pemimpin pembangkang menyerahkan Deklarasi Rakyat kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Januari lepas, dalam ucapannya di Konvensyen Pakatan Harapan, yang mengangkat beliau sebagai calon perdana menteri gabungan politik itu, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan keluarga kerana sedia menerimanya dalam perjuangan menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak dan Barisan Nasional. – 13 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen