-2.jpg)
CADANGAN Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar “pecahkan dominasi Melayu dalam sektor awam”, seperti yang dilaporkan oleh media pada 10 Februari, adalah suatu kenyataan melulu dan juling memahami masalah.
Saya mulakan dengan satu kenyataan – Ramasamy ini tidak pernah mewakili masyarakat India dalam karier politiknya. Beliau tidak pernah dilantik mewakili kaum India untuk bercakap sebagai pemimpin kaum itu. Jadi apa yang disebut oleh beliau, tidak akan dan tidak pernah mewakili kaum India di Malaysia.
Kaum India di Malaysia adalah warga yang taat dan patuh kepada perlembagaan negara, sama seperti kaum Cina. Malah ada dalam kalangan rakan-rakan saya baik Cina atau India, lebih arif dan menyanjung Malaysia sebagai tanah tumpah darahnya.
Ramasamy adalah seorang ahli politik yang tidak menghormati sejarah negara ini hanya semata-mata mahu jadi jaguh dalam politik DAP yang sempit itu.
Logik beliau – keadilan – dalam pentadbiran kerajaan ialah dengan memecahkan dominasi (monopoli) penjawat awam dalam kalangan kaum Melayu kepada kaum-kaum lain.
‘Dominasi’, yang juga boleh difahami sebagai ‘monopoli’ ini satu istilah jahat yang digunakan untuk menggambarkan wujudnya ‘polarisasi’ ke atas kaum tertentu. Ini namanya permainan politik hasad.
Dengan kata lain, Ramasamy cuba bermain ayat dengan menyembunyikan sentimen perkauman.
Semenanjung Malaysia hari ini adalah warisan Tanah Melayu. Ini adalah dunia nusantara yang merangkumi gugusan ribuan kepulauan dari Sumatera hingga ke Papua, dari Myanmar hingga ke Vietnam – semua ini asalnya berakar dari tamadun wangsa Melayu.
Identiti ini mempunyai hak untuk dipelihara, dikekal atau dipertahankan selagi ia tidak menzalimi mana-mana kaum. Perlembagaan Persekutuan lahir daripada kesedaran ini.
Apabila berlaku revolusi atau evolusi dalam kuasa politik, ekonomi dan penghijrahan rentas sempadan sejak ratusan tahun, maka menjadi kewajipan keluarga baharu yang ada di tanah ini untuk menghormati nilai, tradisi dan identiti negara baharunya. Tanah ini ada haknya.
Mengapa ada yang begitu sombong dan enggan untuk sama-sama menghormatinya?
Perkara utama dalam masalah perkhidmatan awam ialah keberkesanan dan kecekapan tadbir urus. Bukan soal bangsa apa yang menjadi pekerjanya.
Ini sepatutnya menjadi isu utama dan ia harus diberi tumpuan bagaimana produktiviti perkhidmatan boleh ditingkatkan.
Tidak ada mana-mana kajian empirikal yang mengaitkan potensi seseorang berdasarkan ras bangsanya. Bodohnya Ramasamy!
Demikianlah, betapa juling dan hasadnya kenyataan Ramasamy ini menunjukkan kejahilan beliau memahami makna keadilan dalam bernegara.
Sejarah Malaysia harus dibongkar kembali agar kita tidak ada lagi pemimpin prejudis seperti Ramasamy ini. – 11 Februari, 2023.
* Mahdzir Ibrahim, timbalan ketua penerangan GTA.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen