Menu Rahmah bukan jawapan masalah kos sara hidup, kata pakar


Noel Achariam

Inisiatif Menu Rahmah diperkenalkan Kerajaan Perpaduan bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup dihadapi rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2023.

INISIATIF Menu Rahmah yang menawarkan hidangan berharga hanya RM5 di kedai makan terpilih sepatutnya menjadi penyelesaian sementara dan Putrajaya perlu mencari langkah merangsang ekonomi dan menaikkan gaji, kata pakar.

Mereka berkata yang walaupun inisiatif itu adalah baik, ia perlu diintegrasikan bersama usaha lain bagi mengawal kos tinggi sara hidup terutama melibatkan harga makanan dan menaikkan kadar gaji rakyat.

Profesor ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata kerajaan perlu memperkasa sekuriti makanan yang bukan hanya meliputi soal kos tetapi juga nutrisi.

“Buat masa sekarang Menuh Rahmah membantu mereka yang tidak mampu makan kerana melibatkan kedai-kedai makan.

“Tetapi ‘penyelesaian atau langkah’ ini perlu disertai dengan inisiatif kerajaan menyediakan makanan mampu milik disasarkan kepada kumpulan tertentu (B40),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Minggu lepas, pengendali restoran dan penjual makanan mula menjual Menu Rahmah- diperkenalkan Kerajaan Perpaduan bagi mengurangkan beban rakyat- walaupun ia mengurangkan keuntungan mereka.

Inisiatif itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub. Menerusi skim itu, hidangan hanya dijual dengan harga RM5 di hampir 15,000 kedai makan seluruh negara yang mengambil bahagian.

Yeah berkata situasi semasa selepas pandemik Covid-19 adalah rakyat memerlukan bantuan segera selepas kehilangan kerja dan berada di bawah garis kemiskinan.

“Makanan mampu milik adalah langkah sementara. Ia segera dan dalam jangka masa panjang kerajaan perlu mencipta lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan produktiviti yang akan membawa kepada kenaikan upah.

“Ini akan membantu negara bangkit lebih cepat daripada kesan sampingan pandemik yang dihadapi isi rumah dan perniagaan.

“Kesan (inisiatif makanan mampu milik) akan berkurangan apabila pertumbuhan ekonomi semakin baik dan rakyat aka nada lebih banyak duit.”

Menyentuh mengenai tahap pendapatan rakyat Malaysia, katanya ia berkaitan dengan kelestarian ekonomi negara.

“Komponen utama adalah kekukuhan pelaburan negara yang boleh membawa kepada pertumbuhan dalam pendapatan dan standard kehidupan yang lebih tinggi.

 “Kita perlu kukuhkan pelaburan yang membawa kepada aktiviti bernilai tinggi yang memerlukan tenaga buruh berkemahiran tinggi yang melibatkan pekerjaan bergaji tinggi.

“Kuncinya adalah produktiviti untuk peningkatan pendapatan yang merupakan ubat kepada kos sara hidup yang tinggi dan inflasi,” kata ahli akademik itu. – 12 Februari, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen