Polis Turkiye tahan kontraktor bangunan runtuh cuba larikan diri


Blok pangsapuri mewah Ronesans Residence yang runtuh di bandar Antakya di wilayah Hatay, Turkiye akibat gempa bumi kuat pada Isnin. – Gambar Twitter, 11 Februari 2023.

POLIS Turkiye semalam menahan seorang kontraktor yang cuba melarikan diri dari negara itu selepas bangunan yang dibina syarikatnya runtuh dalam gempa bumi kuat pada Isnin, menurut media tempatan. 

Gempa bumi 7.8 magnitud dan gempa susulan pada Isnin lalu memusnahkan sebahagian besar kawasan tenggara Turkiye dan Syria, menyebabkan angka kematian mencecah 24,000 orang setakat ini. 

Ribuan bangunan runtuh dalam bencana itu, membangkitkan kemarahan mangsa dan rakyat di seluruh Turkiye kerana kualiti binaan yang teruk. Antaranya, blok pangsapuri mewah Ronesans Residence yang runtuh di bandar Antakya di wilayah Hatay. 

Kontraktor bangunan itu, Mehmet Yasar Coskun, ditahan di lapangan terbang Istanbul ketika cuba melarikan diri ke Montenegro, kata agensi berita negara Anadolu. Dia didakwa membawa wang yang tidak diketahui jumlahnya ketika ditahan.

Bekas pemain bola sepak antarabangsa Ghana Christian Atsu dipercayai antara mangsa yang tetimbus di bawah runtuhan blok 12 tingkat yang dibina pada tahun 2013 itu. Pengarah sukan beliau di kelab Hatayspor, Taner Savut, turut terperangkap, lapor media tempatan. 

Pada 2013 Turkiye memperkenalkan peraturan pembinaan yang lebih ketat selepas kejadian gempa bumi pada 1999 di barat laut negara itu yang membunuh lebih daripada 17,000 orang. 

Media Turki melaporkan bahawa ramai lagi mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan Ronesans Residence, dan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan. Blok pangsapuri itu dilaporkan menyebabkan bangunan sekitar rosak teruk ketika ia runtuh. – AFP, 11 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen