Atlet perlu pelan persaraan lebih baik, kata bekas pemain kebangsaan


The Malaysian Insight

Goh Liu Ying berkata atlet perlukan pelan persaraan bagi hidup dengan selesa selepas banyak memberi sumbangan kepada negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2023.

MALAYSIA perlu belajar daripada negara sukan lain untuk mencontohi bagaimana atlet yang akan bersara diberi jaminan kehidupan sewajarnya, kata bekas pemain kebangsaan Goh Liu Ying.

Goh, yang mengumumkan persaraannya pada 14 Januari tahun ini, berkata atlet yang akan bersara memerlukan pelan persaraan bagi membolehkan mereka hidup dengan selesa selepas banyak memberi sumbangan kepada negara.

“Atlet harus tenang dan tidak bimbang tentang kehidupan selepas bersara,” katanya dalam temu bual dengan The Malaysian Insight.

Beliau berkata Malaysia perlu belajar daripada negara seperti Jepun, Taiwan atau China - semua negara yang mempunyai kedudukan badminton yang baik di peringkat global - mengenai rancangan persaraan mereka untuk pemain.

“Negara ini mempunyai beberapa siri program jaminan,” katanya.

Salah satunya adalah menghantar pemain yang akan bersara ini kembali ke sekolah untuk mengikuti kursus yang mereka minati.

Ini akan membolehkan mereka terus mencari pekerjaan, termasuk dalam bidang perubatan sukan, jika mereka mahu terus berkecimpung dalam sukan.

Program persaraan China juga patut dilihat, tambahnya.

“Apabila pemain beraksi, gaji mereka dibayar oleh wilayah yang diwakili pemain. Apabila bersara, mereka mempunyai pilihan untuk berkhidmat dalam pasukan wilayah sebagai jurulatih.

“Kuncinya ialah negara ini memikirkan pemain mereka apabila tempoh mereka beraksi tamat. Mereka sangat mengambil berat tentang kesejahteraan pemain,” katanya.

Goh berkata beliau mula memikirkan kehidupan selepas badminton apabila terlantar hampir setahun selepas menjalani pembedahan lutut pada 2014.

“Tiada siapa memberitahu kami yang kerjaya dalam badminton begitu singkat. Apa yang lebih teruk ialah tiada apa-apa yang sama selepas kami bersara atau terpaksa bersara kerana kecederaan.

“Saya melihat ramai bekas pemain mengalami masalah kewangan dalam tempoh satu atau dua tahun selepas bersara.”

Ketika mengumumkan persaraannya bulan lalu, Goh tidak lagi berada di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Goh dan pasangan beregu campuran Chan Peng Soon meletak jawatan sebagai pemain BAM pada 2018, dan merangkul gelaran pertama mereka sebagai profesional, Thailand Masters, pada tahun berikutnya.

Beliau berkata apabila berpindah dari BAM, beliau terpaksa bergantung sepenuhnya pada penajaan untuk pendapatan.

Ini juga menyebabkan beliau menghabiskan banyak masa di media sosial untuk memenuhi kewajipan kepada banyak penajanya.

Bagaimanapun ramai pengkritik dan menyelarnya kerana menghabiskan terlalu banyak masa di media sosial, malah berkata prestasinya di gelanggang terjejas disebabkan perkara itu.

“(Tetapi) pemain seperti kami adalah komoditi yang perlu dipromosikan.

“Apa yang paling diingini oleh penaja ialah pendedahan yang boleh diberikan oleh pemain berprofil tinggi.

“Pemain pasukan kebangsaan tidak bimbang kerana mereka menerima gaji tetap. Itulah perbezaan antara kami dan mereka dan mengapa kami begitu menonjol di media sosial.

“Jika saya tidak mempunyai penajaan yang mencukupi, maka sukar untuk saya bermain kerana memasuki kejohanan memerlukan banyak wang,” katanya.

Beliau juga bertanya mengapa peminat Malaysia melayannya berbeza daripada pemain perseorangan lelaki Denmark dan pemenang pingat emas Olimpik Viktor Axelsen “yang juga aktif di media sosial”. – 11 Februari, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen