KERAJAAN perlu membina model baharu ekonomi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, kata sebuah badan ekonomi.
Centre for Market Education (CME) dalam satu kenyataan hari ini berkata model itu harus bertumpu kepada simpanan dan pelaburan berbanding penggunaan swasta dan perbelanjaan kerajaan.
“Kami percaya bahawa simpanan dan pelaburan adalah tonggak untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan, manakala model ekonomi yang dibina berdasarkan penggunaan dan perbelanjaan kerajaan adalah memberi insentif kepada hutang dan inflasi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CME Carmelo Ferlito dalam kenyataan itu.
CME berkata walaupun masih terdapat tahap ketidaktentuan global yang tinggi dan senario dasar domestik masih belum ditakrifkan, ia bagaimanapun “menjemput” kerajaan untuk mengambil inisiatif menggalakkan celik kewangan untuk mengekalkan kestabilan kewangan rakyat dan melakukan apa sahaja yang boleh untuk memudahkan perniagaan.
Ia menyatakan perlu ada kajian semula ke dalam peraturan am, struktur perbankan dan perundangan buruh untuk memberi insentif kepada pelaburan domestik dan asing.
Tambahnya kerajaan juga harus menggalakkan pembaharuan fiskal dan dalam masa yang sama mengurangkan cukai pendapatan, mengukuhkan penguatkuasaan dan memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) baharu; dan memperkukuh perdagangan bebas antarabangsa dengan perjanjian dua hala yang langsung dan mudah dilaksanakan.– 10 Februari, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen