.jpg)
DR Mahathir Mohamad selalu ditanya kenapa masih tidak mahu bersara dari perjuangan politik, kenapa tidak duduk diam di rumah bersama cucu dan beribadah? Inilah soalan klise yang sering ditanya.
Bagi Dr Mahathir, dia merasakan perjuangan politik ini sebagai sebahagian daripada ibadahnya. Ibadah adalah cara hidup seseorang.
Jika nasi adalah makan ruji kita sejak kecil, maka hanya mati saja yang akan buat kita berhenti daripada makan nasi. Begitulah adanya perjuangan politik bagi Dr Mahathir.
Ramai merasa sulit untuk menerima jawapan Dr Mahathir ini. Mereka yang tak dapat menerima kenyataan ini sebenarnya merasakan atau menganggap Dr Mahathir sama saja dengan ahli politik yang lain iaitu berjuang dalam politik demi jawatan, kedudukan dan wang untuk diri atau anak-anaknya. Atas sangkaan inilah mereka tak dapat memahami sikap Dr Mahathir pada politik.
Dr Mahathir pernah berseloroh. Katanya, apabila kita semakin mendekati kebenaran dalam perjuangan, akan bertambah kurang teman dan penyokong bersama kita. Selorohnya ini menyentap fikiran saya.
Ketika persiapan PRU15 yang lalu, kami rakan-rakan bertanya tentang kemampuan kewangan parti untuk bertanding, masing-masing termenung.
Namun ada dalam kalangan rakan-rakan menyangka tentulah mereka yang dikatakan kroni-kroni Dr Mahathir yang kaya raya itu akan membantu.
Ternyata, semua sangkaan ini meleset. Rupanya ada rakan turut percaya dengan ilusi mereka yang merasakan Dr Mahathir banyak wang dan dibantu oleh orang kaya-kaya. Itu kepercayaan dari khayalan yang direka sendiri.
Iktibar perjuangan anbiya
Baru-baru ini Dr Mahathir melahirkan kesedihannya sewaktu ziarah di Langkawi. Kekecewaan ini saya baca di media, lantas kami teringat akan kisah dan iktibar pengajaran dari perjuangan Nabi Nuh a.s.
Semasa perjuangan dan dakwah Nabi Nuh a.s ini, baginda dinasihati oleh orang-orang musyrik yang sombong agar berhenti dan berehat dari meneruskan usaha tersebut. Kumpulan musyrik ini adalah mereka yang tinggi kedudukannya dalam masyarakat, kaya dan berkuasa seperti pemimpin politik yang besar.
Namun Nabi Nuh a.s terus berjuang dan berdakwah dengan segala macam hambatan dan kesulitan, cacian dan pelecehan.
Seperti diriwayatkan dalam al-Quran, Nuh a.s berdakwah sekitar 950 tahun kepada kaumnya. Namun selama ratusan tahun itu, pengikutnya tak sampai 100 orang. Dari kecilnya jumlah pengikut Nabi Nuh a.s ini, mereka terdiri dari orang-orang bawahan, tukang-tukang, janda dan mereka yang miskin dan lemah.
Jika penganalisis politik membuat analisa kes Nabi Nuh a.s ini berdasarkan ‘sains politik’, mungkin akan beranggapan bahawa pengikut Nabi Nuh a.s yang sedikit itu memilih mengikuti Nabi Nuh a.s bukan kerana iman, tetapi kerana mereka ini tiada tempat dan kedudukan dalam masyarakat musyrik ketika itu.
Senario ‘sains politik’ itu akan membuat kesimpulan bahawa perjuangan Nabi Nuh a.s ini tak relevan ketika itu.
Justeru ingin saya tanyakan kepada kita semua, jika ini senario yang kita mahu pakai, adakah ini bermakna perjuangan Nabi Nuh a.s gagal dan sia-sia?
Oh tidak, kita tidak menyamakan taraf kerasulan Nabi Nuh a.s dengan Dr Mahathir – orang biasa, bukan itu.
Yang kita nyatakan ialah iktibar sejarah tentang kekuatan, tekad dan semangat perjuangan seseorang terus teguh pada keyakinannya, tidak kira apa jua hambatan, hinaan dan keputusan menang atau kalah.
Suatu ketika dulu, ramai dalam kalangan kita menyangka ‘kebal’ bermakna tak lut dari luka senjata, maka kita semua mahu jadi kebal dan kita sangka, orang lain pun mahu kebal macam kita.
Tapi kita selalu lupa nabi Muhammad s.a.w itu pernah luka patah giginya dibantai teruk dalam perang Uhud. Makna kebal ialah pada keyakinan, bukan takut luka kena sembelih. Kita yang keliru memahami suatu makna dan menyangka orang juga seperti kita.
Perspektif kita sering mengelirukan diri sendiri, kita menganggap bahawa seorang yang berstatus negawaran seperti Dr Mahathir harus hidup seperti yang kita sangka, hidup dengan nama yang masyhur, rekod yang gemilang, menang tak terkalah dan sentiasa berada dikedudukan yang tinggi.
Bagi musuh politik Dr Mahathir, mereka menanam anggapan Dr Mahathir macam ahli politik yang lain – gila mahu jadi PM sebab itu mahu terus berpolitik.
Perspektif yang keliru ini wujud kerana kita tidak memahami naratif sejarah. Kita lupa bahawa sifat sebenar seorang negawaran itu ialah ketika dia sanggup diuji dengan menghadapi kekalahan dan hinaan demi keyakinannya pada perjuangan itu.
Kita lupa, menjadi seorang negarawan bukan sahaja perlu mengajar bagaimana mahu berjaya, tetapi mengajar bagaimana kita perlu menghadapi kekalahan. Dengan kekalahan ini jugalah, rupa sebenar seorang pemimpin itu akan kelihatan pada kita. – 10 Februari, 2023.
* Mahdzir Ibrahim, timbalan ketua penerangan GTA.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen