Korea Selatan tamatkan sekatan visa Covid untuk pengembara China 


Petugas kesihatan mengiring pelancong yang tiba dari China di pusat ujian Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul. – Gambar AFP, 10 Februari, 2023.

KOREA Selatan akan mengeluarkan visa jangka pendek kepada pelancong dari China, menamatkan sekatan berkaitan Covid-19 yang mencetuskan kemarahan Beijing.

Pada Januari, Seoul mengenakan syarat perjalanan, termasuk sekatan visa dan ujian PCR, ke atas semua pelawat dari China, ketika negara paling ramai penduduk di dunia itu menghadapi lonjakan kes koronavirus.

Namun Korea Selatan berkata kadar penumpang dari China yang diuji positif semasa ketibaan telah menurun kepada 1.4% minggu lepas, turun daripada 20% ketika sekatan mula diperkenalkan.

Susulan itu, Seoul akan “menghapuskan sekatan visa jangka pendek di China dan meneruskan pengeluarannya mulai 11 Februari”, kata pusat kawalan penyakit negara itu dalam satu kenyataan.

Penurunan itu mencerminkan situasi semasa di China, katanya, di mana “tiada tanda-tanda penyebaran atau mutasi koronavirus baharu selepas cuti tahun baru”.

Beberapa hari selepas Seoul berhenti mengeluarkan visa pada Januari, Beijing menolak dengan menggantung pemberian visa jangka pendek untuk warga Korea Selatan, dan menggelar langkah Seoul sebagai “diskriminasi”.

Sekatan lain, termasuk keperluan ujian, masih kekal dilaksanakan.

Pengembara dari China mesti memberikan ujian negatif sebelum berlepas dan menjalani ujian PCR dalam hari pertama ketibaan.

Mereka yang didapati positif perlu dikuarantin selama seminggu. – AFP, 10 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen