Mahfuz nafi kata Pakatan rapuh


Looi Sue-Chern

Bekas pemimpin PAS Mahfuz Omar hari ini menafikan bahawa beliau meragui kesepatakan yang ditunjukkan Pakatan Harapan, sambil menegaskan bahawa tiada sebarang keretakan berlaku dalam gabungan tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2018.

BEKAS pemimpin PAS Mahfuz Omar hari ini menafikan bahawa beliau meragui kesepatakan yang ditunjukkan Pakatan Harapan (PH), sambil menegaskan bahawa tiada sebarang keretakan berlaku dalam gabungan tersebut.

Beliau yang secara terbuka menyokong PH berkata, gabungan itu berdiri kukuh dan dipimpin oleh “negarawan sebenar” Dr Mahathir Mohamad, yang sanggup mengetepikan dendam politik lama demi negara dan rakyatnya.

“(Inilah yang) menjadi ketakutan Umno dan Barisan Nasional terhadap PH,” katanya dalam kumpulan Whatsapp media.

Mahfuz berkata demikian mengulas sekeping gambarnya yang tular di media sosial, tertera perkataan “Saya sendiri tidak tahu akan bertanding atau tidak, Pakatan Harapan terlalu rapuh.”

Beliau berkata mesej itu palsu dan menegaskan yang beliau tidak pernah terfikir yang PH rapuh.

“Bertanding atau tidak… saya tidak tahu dan bukan menjadi matlamat saya untuk bertanding.

“Yang penting saya pasti akan bantu untuk kemenangan PH bagi mencapai hasrat untuk peralihan kuasa dari BN kepada PH,” katanya.

Mahfuz pernah menjadi pesuruhjaya PAS Kedah. Beliau juga pernah menyandang jawatan naib presiden dan ketua penerangan.

Beliau baru-baru ini mengumumkan penarikan diri daripada parti Islam tersebut, setelah menjadi ahli selama 34 tahun. Isteri dan anak perempuannya turut mengikut jejak langkah beliau meninggalkan parti tersebut.

Beliau kesal dengan PAS yang tidak mahu menyertai PH untuk menentang BN dalam pilihan raya akan datang.

Beliau masih belum menyertai mana-mana parti dalam PH, meskipun menyatakan sokong secara terbuka terhadap parti dalam gabungan tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – 13 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen