Terima upah pengubahan wang haram, pengarah syarikat ditahan  


SEORANG pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima upah daripada individu bergelar Datuk Seri bagi melakukan kerja-kerja membabitkan kegiatan pengubahan wang haram.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 4.45 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.

Sumber berkata lelaki itu dipercayai telah menerima habuan lebih RM100,000 pada sekitar 2016 hingga 2017 sebagai bayaran membawa wang dari luar negara hasil penipuan pelaburan menerusi beberapa agensi pengurup wang.

“Wang yang dibawa menerusi pengurup wang berkenaan kemudian disuntik ke dalam akaun sebuah syarikat milik individu berprofil tinggi,” katanya.

Sumber berkata lelaki itu direman selama lima hari hingga Isnin depan selepas perintah reman terhadapnya dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan pengarah syarikat swasta itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – Bernama, 9 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen