Apa jadi bila suhu naik 


Hishamuddin Rais

SUHU planet dunia kita seharusnya ialah 15°c.  Suhu planet Mercury 167°c. Suhu planet Venus 464°c. Cuaca di dua planet ini terlalu panas seperti air menggelegak. Tidak memungkin manusia hidup di planet ini.

Iklim bumi kita ini cukup ngam. Tidak panas dan tidak terlalu sejuk. Iklim bumi kita ini dianggap iklim Goldilocks. Ada wilayah panas dan ada wilayah sejuk.

Wajib disedari juga suhu iklim bumi kita ini telah  naik 1°c semenjak tahun 1880. Pemanasan global sedang berjalan.

Tahun 1880 diambil sebagai tarikh patokan suhu iklim dunia kerana di zaman ini kuasa elektrik ditemui. Ini permulaan era Revolusi Industri Kedua.

Pada tahun ini muncul tenaga elektrik dan teknologi di mana kilang-kilang didirikan untuk mengeluarkan produk dengan banyak.

Tenaga elektrik dijana dengan pembakaran arang batu.

Kenapa iklim dunia berubah dan kenapa suhu bumi naik telah kita ketahui. Sebab musababnya telah kita kenal.

Kita – umat manusia – bertanggung jawab membawa kepada perubahan iklim dunia kita ini. Pemanasan global ini adalah hasil dari perbuatan dan tindak tanduk umat manusia.

Kali ini saya mahu memberi gambaran bagaimana jika suhu iklim bumi kita ini terus berubah. Apa akan terjadi kepada umat manusia? Apa akan terjadi kepada binatang, haiwan dan tumbuhan – pokok dan kayu kayan?

Sedarlah: bayi yang dilahirkan pada tahun 2023 ini akan merasakan keadaan persekitaran mereka akan lebih panas dari yang dilalui oleh datuk nenek moyang mereka.

Malapetaka akan menimpa kita semua. Ombak panas akan sampai. Kemarau berpanjangan. Bumi subur akan jadi gersang, kering kontang dan akhirnya menjadi padang pasir.

Apa yang saya tulis ini bukan berniat untuk menakut-nakutkan sesiapa pun. Tulisan ini bukan menjanjikan kedatangan Dajjal sebelum munculnya Imam Mahadi.

Tulisan ini bukan berasaskan fake news atau berita palsu. Tulisan ini menyatakan apa yang sedang berlaku. Berasaskan kajian dan fakta ilmiah dari ilmuwan dan para saintis pengkaji cuaca. Bukan dari mimpi untuk menakut-nakut para pembaca.

Biar saya gunakan metafora tentang manusia hari ini. Ketika ini kita semua seperti katak terapung di air dalam periuk di atas api.

Api ini sedang membakar periuk secara perlahan-lahan hinggakan katak tidak sedar dan tidak melompat keluar. Atau berusaha untuk menyelamatkan diri.

Saya cuba memberi ingatan kepada Sang Katak bahawa air dalam periuk semakin panas, akhirnya akan menggelegak dan katak akan direbus mati. Amin.

Metafora yang saya nyatakan di sini berasakan kenyataan National Space Administration (Nasa), agensi kaji selidik ruang angkasa lepas milik Amerika.

Mengikut Nasa sembilan tahun kebelakangan ini suhu bumi makin panas berpandukan rekod rakaman suhu bermula dari tahun 1880.

Suhu telah naik sebanyak 1.1°c lebih panas berbanding dengan pukul rata suhu dalam kurun ke-19.

Bumi yang panas sedang mencairkan air batu di Kutub Utara dan Selatan, mencairkan glasier di wilayah pegunungan. Kecairan air batu ini akan menambah kenaikan air laut.

Hampir 10% warga dunia duduk berhampiran dengan air. Pukul rata jaraknya sepuluh meter dari tebing air. Pada ketika ini air telah naik sebanyak ½ meter semenjak tahun 2015.

Para saintis yang membuat ramalan pada tahun 2100 air akan naik setinggi dua kaki.

Justeru Presiden Joko Widodo telah mengambil langkah yang tepat. Jakarta – ibu negara Indonesia – dipindahkan ke Nusantara. Ini petempatan baru ibu negara Indonesia di wilayah Kalimantan yang lebih tinggi dan selamat.

Saheh – Jakarta sedang tenggelam. Begitu juga suatu hari nanti kota London di sebelah Sungai Thames dan New York yang terletak di tepi laut.

Kota dan bandar di kawasan rendah di tepi laut akan menjadi mangsa air. Begitu juga dengan pulau-pulau di Lautan Pasifik, Lautan Hindi dan Lautan Atlantik.

Bukti sahih ialah beberapa pulau di Kepulauan Fiji telah mula tenggelam. Warga di pulau ini berpindah ke tempat yang lebih tinggi atau meneroka pulau baru. Tenggelamnya pulau mereka bermakna lupus sejarah tamadun peninggalan datuk nenek moyang mereka.

Manakala kepulauan Maldives di Lautan Hindi juga sedang tenggelam. Setiap kali air laut pasang banyak kawasan akan dimasuki air.

Semenjak beberapa dekad kebelakangan, satu pertiga Maldives sudah tenggelam.

Mengikut ramalan World Bank, “with future sea levels projected to increase in the range of 10 to 100 centimeters by the year 2100, the entire country could be submerged”.

Tahun 2100, Maldives akan hanya menjadi ingatan. Banci tahun 2021 terdapat 521,457 warga Maldives – jantan betina kecil besar tua muda.

Ke mana mereka akan melarikan diri ?

Hakikatnya kawasan rendah di pesisir laut akan menjadi mangsa awal.

Mari kita lihat lembah Delta Ganges dan Brahmaputra terletak di Bangladesh dan di Bengal Barat. Lembah seluas 100,000km persegi ini adalah delta yang terluas di dunia.

Ada seramai 260 juta warga hidup di lembah ini. Seramai 160 juta di Bangladesh dan 100 juta di Bengal. Ini wilayah bumi yang amat subur.

Apabila air laut naik maka banyak kampung tenggelam di Bangladesh dan di Bengal. Ini perkampungan petani kecil, yang keluasan tanah  mereka tidak sampai 2 ekar.

Petani kecil ini berjumlah 600 juta. Kita akan temui mereka di Amerika Latin, di Afrika dan di Asia. Jangan pandang enteng – petani kecil ini. Mereka mengeluarkan satu pertiga dari bahan makanan dunia.

Bila perkampungan mereka tenggelam maka mereka akan berpindah. Rantai makanan akan terputus. Pengeluaran makanan hilang.

Di Bangladesh kota Dhaka kini menjadi pusat pelarian warga dari kampung-kampung yang tenggelam. Kini kota Dhaka makin sesak dan padat. Ditambah pula dengan kemasukan pelarian dari Rohingya.

Perubahan iklim di Bangladesh membawa bencana air. Di wilayah lain seperti di Somalia, Kenya di benua Afrika atau Guatemala di Amerika Latin, petani kecil kekurangan air untuk bercucuk tanam.

Di wilayah ini pemanasan global dan perubahan iklim membawa mudarat kemarau berpanjangan. Hujan tidak sampai.

Panen gagal. Tanaman mati kering tanpa air. Haiwan ternakan mati kehausan. Petani kecil anak beranak lari ke kota dan bandar mencari perlindungan. Bandar dan pekan menjadi padat.

Manakala petani kecil yang ladang kering kontang di Amerika Latin dan Amerika Tengah akan melarikan diri ke Amerika Utara. Mereka menyerbu masuk ke Mexico untuk menembus masuk ke Amerika Syarikat.

Pelarian dari Amerika Latin ini bukan pelarian perang tapi pelarian ekonomi. Amerika Syarikat menjadi tempat mereka mencari perlindungan.

Hari ini kita selalu terbaca berita mayat bergelimpangan di tepi pantai Itali atau Greece. Ini mayat warga Afrika yang ingin masuk ke Eropah Barat. Kapal mereka karam di tengah laut di pukul badai atau bocor atau terlalu padat.

Tujuan mereka menuju Eropah ialah untuk memulakan kehidupan baru.

Fakta ada menunjukkan sebahagian lari kerana perang. Atau kerana politik negara kacau bilau. Tapi majoriti lari kerana bumi pertanian mereka gersang dan kering. Kemarau berpanjangan.  Mereka tidak ada pilihan melainkan cuba merempuh masuk secara haram ke Eropah.

Rata-rata mereka ini adalah pelarian ekonomi bukan pelarian politik – economic refugees bukan political refugees.

Kedatangan pelarian ini tidak disukai oleh warga asli Eropah. Warga asli menolak pendatang yang akan mengubah gaya hidup dan tatasusila penduduk asal.

Maka babak ini dikatakan rasis. Hakikatnya  pendatang mangsa bencana alam sedang  membawa porak peranda ke dalam masyarakat Eropah yang liberal dan sekular.

Apakah ini rasis kerana penduduk asal  mempertahan gaya hidup mereka yang sekular?

Bayangkan jika negara China dilanggar kemarau berpanjangan akibat pemanasan global. Ramai warga China akan meluru lari ke Vietnam, ke Siam dan ke Malaysia. Sabah, Sarawak dan Kalimantan akan menjadi sasaran rakyat China. Senario ini bukan mustahil. Bibit-bibit dan tanda-tanda telah wujud.

Buktinya ialah Pulau Bidong dan Pulau Babi Besar. Dua pulau ini telah diceroboh oleh warga Vietnam yang lari dari Perang Vietnam pada tahun 1974.

Ketika ini kita di Malaysia sedang menerima  pelarian dari Rohingya dan Myanmar. Bayangkan  jika kemarau berpanjangan di Myanmar atau Bangladesh atau banjir melanda Bangladesh seperti melanda Pakistan pada bulan Jun 2022 lalu. Apa akan terjadi?

Saya amat yakin Malaysia akan diserbu pelarian ekonomi akibat dari malapetaka iklim.

Amat jelas disini kesan pemanasan global, kesan rumah hijau sedang merobek susunan sosial masyarakat yang wujud pada ketika ini. Perubahan iklim ini ikat berikat. Semua kait mengait. Semua ada sebab dan akibat.

Kajian memperlihatkan semenjak tahun 1990  jumlah orang pelarian ke Amerika Syarikat bertambah empat kali ganda. Ini juga selari dengan empat kali lebih kerap berlakunya kemarau di Amerika Latin.

Pada 21 Mac 2022 majalah The Economist telah memetik kata-kata Setiausaha Agung (PBB) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres : “... kita sekarang dalam ICU dan sedang nazak…”.

Kata-kata ini disampaikan di Persidangan COP26 di Glassgow, Scotland pada November 2021. COP – Climate Change Conference of the Parties – adalah lembaga yang ditubuhkan oleh PBB.

Setiap tahun PBB akan mengadakan persidangan COP. Pemimpin negara, para saintis, pakar kaji cuaca dan juga wakil NGO akan bertemu dan berbincang untuk  mencari jalan keluar dan menyelamatkan umat manusia diari malapetaka cuaca.

COP telah berjalan sebanyak 27 kali. Kali pertama di Berlin pada tahun 1995. Kali terakhir  COP27 bersidang pada bulan November 2022  di Sharm el-Sheikh Mesir.

Saya memaksa diri untuk  bercakap jujur disini. Walau pun kita  dalam keadaan nazak – dalam ICU – tetapi langkah-langkah bijak dan betul untuk membendung kenaikan suhu dunia masih gagal dilakukan.

Katak masih lalai dalam air yang belum menggelegak.

Terlalu banyak songel dan terlalu banyak cekadak yang menghalang langkah tepat dijalankan demi menahan kenaikan suhu planet bumi.

Apa yang songel, dan siapa  yang menghalang? Betulkah ada sabotaj? Sila tunggu pencerahan. Amin. – 9 Februari, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen