MAHKAMAH Rayuan pada 25 April akan mendengar kes melibatkan seorang wanita Buddha yang memohon pengisytiharan undang-undang syariah tidak terpakai ke atasnya kerana dilahirkan sebagai luar nikah kepada seorang bapa beragama Islam.
Hakim Umi Kalthum Abdul Majid hari ini menetapkan tarikh tersebut bagi membenarkan pasukan undang-undang yang mewakili wanita terbabit dan para responden, kerajaan negeri Selangor dan pihak berkuasa syariah negeri membuat persediaan.
Rosliza Ibrahim, 36, yang dibesarkan sebagai seorang Buddha oleh ibunya, menegaskan bahawa mahkamah syariah di Selangor tiada bidang kuasa ke atasnya.
Dia berhujah bahawa hak Perlembagaannya bagi kebebasan beragama, pemilihan pasangan dan pelupusan harta terjejas teruk kerana dia masih didaftarkan sebagai seorang Islam.
Rosliza yang bekerja dalam bidang farmaseutikal, telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 2015, kemudian menyertakan bukti bahawa pihak berkuasa Wilayah Persekutuan dan Selangor tidak mempunyai rekod yang ibu dan bapa kandungnya telah bernikah secara sah dalam Islam.
Kes Rosliza ditolak pada Mac 2016 atas alasan dia tidak dapat membuktikan bahawa kedua ibu dan bapanya tidak bernikah secara Islam di negeri lain.
Pada Oktober 2016, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Rosliza dan kesnya diperintahkan supaya didengar di Mahkamah Tinggi lain.
Rosliza kemudian mendapat pengesahan dari pihak berkuasa agama di sepuluh negeri lain di Malaysia yang menyatakan bahawa tiada rekod menunjukkan ibunya telah menukar agama kepada Islam.
Kesnya ditolak di Mahkamah Tinggi atas spekulasi bahawa ibu dan bapa kandungnya mungkin telah bernikah tetapi tidak mendaftarkan perkahwinan mereka. – 13 Mac, 2018.
Komen