Khairy adalah aset, kami sedia bekerjasama, kata Muda 


Noel Achariam

Khairy Jamaluddin berkata beliau berhasrat untuk melanjutkan kerjaya politiknya di Selangor dan bertanding dalam pilihan raya negeri selepas tewas di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari 2023.

KHAIRY Jamaluddin mempunyai pengikut yang ramai dalam kalangan belia dan Muda tidak sabar untuk bekerjasama dengannya jika bekas pemimpin Umno itu memutuskan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang, kata setiausaha agung parti itu.

Amir Hariri Abd Hadi berkata, walaupun bekas menteri kesihatan itu memulakan parti sendiri, mereka sanggup berbincang dengannya.

“Walaupun dia menyertai parti lain atau menubuhkan parti sendiri, Muda sedia berbincang bagaimana kami boleh maju bersama.

“Pengalaman beliau (Khairy) dalam politik akan sangat bermanfaat. Beliau mempunyai pengikutnya sendiri dan kita boleh lihat ramai belia memandang tinggi kepadanya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bulan lalu, Khairy berkata beliau sedang melihat untuk melanjutkan kerjaya politiknya di Selangor dan boleh bertanding dalam pilihan raya negeri selepas tewas di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pemimpin Umno yang dipecat itu berkata beliau mesti mencari parti baharu dahulu.

“Ada kemungkinan jika saya mencari parti yang sesuai. Saya rasa politik saya telah berhijrah ke Selangor,” kata Khairy.

Terengganu, bersama Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang, akan mengadakan pilihan raya tahun ini.

Tiada tarikh ditetapkan lagi untuk pilihan raya negeri. Bagaimanapun, pilihan raya perlu diadakan menjelang September.

Hanya Pahang, Perak, dan Perlis keluar mengundi dua bulan lalu untuk memilih kerajaan negeri. Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh setahun sebelum PRU15.

Bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan turut digantung keahlian selama enam tahun.

Amir berkata mereka terbuka bukan sahaja kepada Khairy atau Sharil tetapi sesiapa sahaja yang berpegang kepada prinsip parti, seperti keadilan ekonomi, memerangi perkauman, hak asasi manusia dan lain-lain.

“Jadi, mereka yang selaras dengan prinsip kita dialu-alukan dalam Muda.

“Kami tahu bahawa mereka mempunyai pengikut mereka dan mereka (Khairy dan Sharil) masih mempunyai banyak untuk disumbangkan kepada negara.”

Amir berharap mereka mempertimbangkan semua pilihan (menyertai parti lain).

“Tetapi, jika mereka memutuskan untuk menyertai kami, mereka perlu mematuhi prinsip parti kami.”– 9 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen