Wacana lain agama dan politik


Faisal Tehrani

Apa jalan tengah untuk masyarakat seperti di Malaysia yang begitu rencam dan majmuk? – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari 2023.

TERDAPAT satu soalan yang ditanyakan kepada saya sewaktu hadir sebuah konferens di Baghdad, Iraq baru-baru ini. 

Soalan ini saya kira merupakan satu soalan yang juga menjadi cerminan kepada keresahan bahawa terdapat kebangkitan Islamis yang tiada tolak ansur dan membenci minoriti, dan ia berlaku di banyak tempat. 

Kebangkitan gerakan Islamis yang jumud begini sangat menggugat imej agama Islam yang sepatutnya moderat dan sangat mementingkan dialog.

Pun, ia dapat menjadi masalah yang sama di negara yang mana terdapat kumpulan tertentu ingin mengangkat agama sendiri dan menindaskan pula penganut beragama Islam seperti mana ideologi Hindutva di India yang mulai mengancam umat Islam, dan kekerasan sami Buddha di Myanmar yang terlihat pada penindasan berleluasa terhadap minoriti Islam khusus Rohingya di sana.

Pokoknya jika agama dan politik dibiarkan bersaing maka masing-masing akan membawa jelmaan masalah yang tidak terfikirkan. 

Kita dapat melihat masalah di Afghanistan, yang mana hak warga negara dinafikan. Ia melibatkan hak wanita, hak berpendidikan dan hak kaum kecil seperti Hazara yang menganut mazhab Syiah. 

Di pihak lain, kita melihat pula isu yang nyaris sama di Iran, yang mana ada kaum minoriti dinafikan keberadaannya. Serta isu-isu lain yang melibatkan hak individu.

Akar masalah ini sedikit sebanyak datang dari pertembungan antara sektor agama dan politik yang mana usaha memisahkannya dimomokkan sebagai sekularisme. 

Di negara kita, sekularisme dijahatkan oleh ramai pihak, antara lain ia distigmitisasi oleh sarjana seperti Syed Naquib Al-Attas dan kemudian dianut oleh ramai ahli politik.

Satu cara untuk mendamaikan konflik yang sengit ini, di negara yang terdapat kumpulan minoriti bukan Islam yang signifikan seperti Malaysia ialah dengan menggunakan Agama Sivil. Kita perlu meneroka semua kemungkinan gagasan sedia ada supaya pada masa hadapan kita tidak saling bercakaran, seperti yang dilihat pada negara-negara yang bermasalah kerana membenarkan penyokong ‘agama’ dan penyokong ’politik’ saling bertelingkah.

Sebelum kalian melenting, ada eloknya memahami terlebih dahulu apakah itu Agama Sivil. Ronald Beiner dalam kerjanya “Civil Religion” telah berusaha untuk meredakan ketegangan antara kumpulan yang memperjuangkan politik, dan kumpulan yang memperjuangkan agama. 

Apakah ini mungkin?

Mengapa pula tidak? Tujuan Agama Sivil seperti yang ditelurkan oleh Beiner adalah supaya kumpulan yang memperjuangkan kemuliaan dan keabsahan politik dengan mereka yang menegaskan keunggulan dan kewenangan agama itu saling berdialog kerana Agama Sivil berniat untuk memperkasakan atau mengupayakan agama, bukan dengan alasan keagamaan tetapi ialah supaya agama yang diperkasakan itu dapat mencipta warga negara yang menjadi insan terbaik, anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan penuh integriti, yang mana ia juga merupakan matlamat sesebuah agama. 

Dalam erti kata lain, jika agama (dalam hal ini semua agama) diangkat dan diperkukuhkan peranannya, justeru diberi peruntukan besar secara sama rata, akan melahirkan warganegara yang baik. Mereka yang baik ini akan membenci penindasan, mengingini keamanan bersama-sama, dan menolak korupsi dan rasuah.

Tentu kita di Malaysia telah menempuh dan sedang bergulat dengan konflik ini, iaitu konflik persaingan ‘agama’ dan ‘politik’ yang mencemaskan kerana ia juga membuka laluan kepada ekstremisme.

Kebangkitan pengundi ‘agama’ kini dibaca sebagai mengancam kaum minoriti, juga kumpulan Islam yang lebih progresif dan yang lebih besar sedang mencabar Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana mereka ingin menggantikan ‘undang-undang sekular’ dengan ‘undang-undang Islam’.

Seperti mana yang kita semua jelas, idea memisahkan politik dari agama lekas dilihat sebagai satu produk liberalisme. Kelompok parti Islam tentunya enggan menerima ini. Kita dapat melihat apa sahaja perbahasan agar mengurangkan peranan agama akan dengan gesit dicop sebagai ‘liberal’.

Manakala idea bahawa politik dan agama itu harus melekat justeru ditadbir atau dipandu oleh keunggulan agama hanya menerbitkan bentuk pentadbiran teokrasi seperti yang terlihat di Iran, dan ini diingini oleh PAS tanpa segan silu lagi. 

Hal ini tentu sahaja tidak dapat diterima kaum minoriti bukan Islam, kumpulan Islam yang lebih waras dan rasional serta kelompok yang ingin mempertahankan keabsahan Perlembagaan. 

Jika begitu, apa jalan tengah untuk masyarakat seperti di Malaysia yang begitu rencam dan majmuk?

Terdapat kebarangkalian untuk meneroka Agama Sivil yang disarankan oleh Ronald Beiner, dalam “Civil Religion” itu. Beiner percaya yang agama boleh sahaja menjadi dialog – hiwar menurut bahasa kaum Islamis – untuk mendamaikan kumpulan bertentangan yang mengunggulkan agama dan politik.

Ini kerana Agama Sivil mendambakan sesuatu yang lebih utuh, iaitu menjadikan seseorang beragama supaya dengan itu dia menjadi warga negara yang patuh dan bermoral serta menghormati kelompok lain. 

Makanya agama diberi peruntukan besar, diberi tanggungjawab penting bukan untuk melebihkan agama Islam supaya ditegakkan sebuah negara Islam yang akan menghakis hak masyarakat bukan Islam, dan merubah Perlembagaan. 

Akan tetapi agama diberi peruntukan besar dan diberi tanggungjawab penting supaya yang terlahir dan terasuh ialah warga negara yang baik. Mereka yang baik adalah mereka yang Islam. Ini kerana Islam ingin menjadikan penganutnya baik.

Akan tetapi pra-syaratnya ialah kesediaan supaya agama-agama lain, atau lebih tepat kepercayaan-kepercayaan lain turut diberi peranan dan pengupayaan yang serupa. 

Jika tiada keadilan atau keseimbangan yakni hanya satu agama sahaja beroleh keutamaan maka kita akan tetap menemui jalan buntu.

Kita di Malaysia, sebagai sebuah nusa bangsa mesti berani membugar kemungkinan jalan ini. 

Kita memerlukan pemimpin yang kuat dan beriltizam untuk menebas lalang dan membuka jalan waras ini. – 8 Februari 2023. 

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen