Umno akan lebih kukuh selepas pemilihan Mac ini, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Pada hujung Januari, Umno memecat dan menggantung puluhan ahli dan pemimpin parti yang didakwa melanggar disiplin parti terutama semasa PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari 2023.

UMNO akan lebih kukuh selepas pemilihan parti pada Mac ini, yang berlangsung tidak sampai tiga bulan setelah pembersihan besar-besaran yang menyaksikan puluhan ahli dan pemimpin kanannya dipecat dan digantung, kata penganalisis.

Kedudukan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti juga akan lebih kuat selepas kumpulan penentangnya kini semakin mengecil, kata mereka.

Penganalisis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berkata, pembersihan dalaman Umno menjadikan kumpulan penyokong Ahmad Zahid lebih dominan berbanding kumpulan lain.

“Umno sekarang sudah lakukan pembersihan, dan ada satu kem sahaja iaitu kem menyokong presiden. Umno akan pergi kepada proses pengukuhan parti (selepas pemilihan),” kata Mazlan, kepada The Malaysian Insight.

Umno sedang mengadakan pemilihan parti di peringkat cawangan sementara pemilihan tiga sayap parti bagi peringkat pusat ditetapkan pada 11 Mac sementara pemilihan bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi pada 18 Mac.

“Kem dalam Umno sudah pecah… sekarang sudah tidak ada kem, hanya tinggal penyokong presiden dan mereka yang menentang sudah tiada.

“Dalam Umno sekarang majoriti ahli bersama dengan Ahmad Zahid, siapa sokong selain itu macam cari pasal,” tambahnya.

Pada hujung Januari, Umno memecat dan menggantung puluhan ahli dan pemimpin parti yang didakwa melanggar disiplin parti terutama semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antara yang dikenakan tindakan termasuk bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dipecat manakala bekas naib presiden Hishammuddin Hussein digantung keahlian selama enam tahun.

Khairy dan Hishammuddin sebelum ini dikatakan antara calon pencabar Ahmad Zahid sebagai presiden.

Kedudukan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno juga akan lebih kuat selepas kumpulan penentangnya kini semakin mengecil, kata mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari 2023.

Dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2022 pada 14 Januari lalu menetapkan tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden, perhatian pemilihan pada Mac nanti tertumpu pada tiga kerusi naib presiden.

Jawatan itu, yang disandang Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid, dan Mohamed Khaled Nordin, dijangka akan ditandingi sehingga 10 calon.

Dalam satu wawancara yang disiar pada Ahad, Ismail Sabri berkata beliau sebelum ini sebenarnya sudah sedia untuk bersara daripada politik tetapi kemudian terpaksa memikul tanggungjawab apabila dilantik sebagai perdana menteri.

Beliau setakat ini belum membayangkan sama ada mahu mempertahankan jawatannya atau tidak, namun banyak penganalisis menjangkakan beliau tidak akan bertanding.

Pembersihan

Pensyarah politik di Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat pembersihan dalaman Umno akan terus berlaku pada pemilihan parti nanti, terutamanya di peringkat bahagian.

“Saki baki ini, kita tunggulah… atas nama kesepaduan untuk kukuhkan parti mereka akan memilih orang yang setia kepada presiden.

“Proses pembersihan ini masih banyak lagi di peringkat bahagian, walaupun tak bersih sepenuhnya tetapi akan mengurangkan krisis dalaman secara berterusan dan mengurangkan krisis,” katanya.

Sesetengah pemimpin Umno di akar umbi bagaimanapun bimbang dengan reaksi ahli-ahli Umno semasa pemilihan parti nanti.

Prestasi buruk parti dalam PRU15 dan pergolakan dalaman yang membawa kepada pemecatan dan penggantungan puluhan ahli dan pemimpin menyebabkan ahli Umno keliru dengan hala tuju sebenar parti, kata seorang pemimpin bahagian yang tidak mahu dinamakan.

“Ada antara mereka yang menyatakan hasrat untuk tidak mengadakan mesyuarat cawangan, ada yang mahu biarkan cawangan ditutup… mereka protes, kerana keliru dengan apa yang berlaku.

“Semuanya ibarat kerbau dicucuk hidung, kena ikut sahaja apa yang diputuskan presiden,” katanya, yang bercakap dengan The Malaysian Insight dengan syarat dirahsiakan identitinya.

Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata beliau sebelum ini sebenarnya sudah sedia untuk bersara daripada politik tetapi kemudian terpaksa memikul tanggungjawab apabila dilantik sebagai perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari 2023.

Hilang minat

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata selain kumpulan presiden, kumpulan yang tinggal dalam Umno juga termasuk mereka yang tidak merasakan parti itu sebuah kerajaan biarpun Umno sekarang sebahagian daripada kerajaan.

“Mereka ini rasa Umno sama macam selepas Langkah Sheraton, semasa duduk dalam kerajaan perdana menteri Muhyiddin Yassin dan kemudian perdana menteri Ismail Sabri.

“Akar umbi Umno rasa cengkaman mereka tidak lagi kuat kerana suasana politik sudah berubah.

“Mereka tidak lagi rasa mereka penting dalam kerajaan berbanding kerajaan dominasi BN,” katanya.

Kumpulan ini katanya sudah hilang minat dengan urusan parti selepas Umno dan BN dua kali kalah pilihan raya umum, pada 2018 dan 2022.

“Mereka ini bertahan kerana Umno masih dalam kerajaan. Itu daya penariknya, untuk mereka ini mengintai peluang dalam lantikan politik dan sebagainya,” kata Hisomuddin.– 8 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen