China sambung semula perkhidmatan pelancongan ke luar negara


China menyambung semula perkhidmatan pelancongan ke luar negara yang berkuat kuasa pada Isnin. – Gambar EPA, 7 Februari, 2023.

NOTIS kebenaran penyambungan semula perkhidmatan pelancongan ke luar negara yang diumumkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan China secara rasminya berkuat kuasa pada Isnin.

Ia sekali gus menyaksikan syarikat dan agensi pelancongan dalam dan luar talian tempatan menyambung semula operasi masing-masing.

Kesemua syarikat itu memulakan semula pelancongan secara berperingka termasuk menawarkan pakej “tiket penerbangan + hotel” ke 20 negara.

Pada awal pagi Isnin, satu kumpulan pelancong berkumpul di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing untuk berlepas ke Singapura.

Ketua bahagian perkhidmatan pelancongan Kumpulan Pelancongan China, Lei Haisu berkata ia kumpulan pelancongan ke luar negara mereka yang pertama sejak tiga tahun lalu.

“Kami memberi lebih perhatian kepada produk dan perkhidmatan pelancongan berdasarkan pelancongan yang sihat, selamat dan selesa,” katanya. 

Selain Beijing, hampir 50 pelancong berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou pada Ahad malam. Kumpulan itu akan berlepas keesokan hari  menuju ke Dubai, Abu Dhabi dan kawasan lain di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Terdapat hampir 160 pelancong dari enam kumpulan pelancong di Guangzhou berlepas ke luar negara pada Isnin denga 80 peratus daripada mereka golongan pesara.

Selain itu, pelabuhan Huanggang di Shenzhen, Guangdong iaitu tempat lawatan berkumpulan dan bas penumpang yang paling kerap keluar masuk pada masa lalu, kini tidak mewajibkan pelancong untuk melaksanakan mekanisme tempahan dan hanya perlu mengisytiharkan keadaan kesihatan lebih awal serta tiada lagi had bagi kuota pelepasan kastam. – Bernama, 7 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen