Bersihkan pilihan raya kotor


G Manimaran

DI peringkat awal tempoh kempen pilihan raya umum (PRU) lalu, saya difahamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaktifkan satu pendekatan luar biasa. Agensi itu menggerakkan pemantauan dengan dekat mengenai kemungkinan perbuatan jual beli undi.

Saya pernah berkhidmat di SPRM sebagai tenaga profesional komunikasi satu dekad lalu, saya rasa ini kali pertama suruhanjaya itu mengambil tindakan awal holistik seumpama itu.

Kemungkinan SPRM sudah dapat menghidu perbuatan itu awal-awal lagi.

Tidak dapat dinafikan sejak beberapa pilihan raya umum lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan SPRM bekerja dengan rapat dalam menangani sebarang bentuk perbuatan rasuah ketika pilihan raya.

SPRM juga akan mengadakan talian khas atau hotline untuk orang ramai memberikan maklumat atau aduan mengenai unsur rasuah.

Pun begitu tidak ramai yakin akan ada tindakan tegas daripada pihak berkuasa. Malah kebanyakan aduan yang dibuat akan tinggal kes akademik kecuali dibawa ke mahkamah dalam bentuk petisyen sebagaimana diperuntukkan oleh Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Jumaat lalu, SPRM dilaporkan sedang mengenal pasti 90 individu didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti politik pada PRU15. Ada antara mereka yang dikenal pasti itu sudah pun dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan isu “sedekah” pengundi.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata SPRM memerlukan sedikit masa untuk melakukan siasatan terutama bagi mengesan mereka yang berkenaan kerana tidak semua individu terbabit menetap di Terengganu.

Pada 24 Januari, bos SPRM itu dilaporkan berkata ahli politik boleh mentafsirkan tindakan pemberian wang tunai ketika kempen PRU15 mengikut cara mereka, namun perkara itu sedang disiasat berkaitan pembelian undi.

SPRM sudah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai ketika kempen pilihan raya seperti dilihat dalam satu video yang berlaku di Terengganu.

Berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, rasuah disifatkan berlaku apabila calon atau mana-mana individu membeli undi, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan memberi atau menawarkan wang, hadiah, pekerjaan atau pinjaman ketika atau selepas pilihan raya.

Peruntukan berkaitan dengan penyamuan (Seksyen 8) menyebut “tiap-tiap orang yang, secara rasuah, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain, sama ada sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung memberikan atau mengadakan atau menyebabkan supaya diberikan atau diadakan, atau yang menyertai hal memberikan atau mengadakan itu, atau yang membayar atau mengaku janji akan membayar kesemuanya atau sebahagiannya, belanja bagi memberikan atau mengadakan apa-apa makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan, atau apa-apa wang atau tiket atau apa-apa cara atau tipu daya lain untuk membolehkan apa-apa makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan didapatkan, bagi atau untuk mana-mana orang bagi maksud untuk mempengaruhi secara rasuah orang itu atau mana-mana orang lain supaya memberikan atau tidak memberikan undinya dalam pilihan raya itu atau oleh sebab mana-mana orang itu atau mana-mana orang lain mengundi atau tidak mengundi atau akan mengundi atau tidak akan mengundi dalam pilihan raya itu, dan tiap-tiap pemilih atau pengundi yang, secara rasuah menerima atau mengambil apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain itu untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”

Seksyen 10 menyediakan peruntukan berkaitan kesalahan menyogok. Seksyen ini menggariskan kesalahan daripada sembilan sudut, merangkumi tempoh sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.

* Pertamanya, memberikan, meminjamkan, atau bersetuju untuk memberikan atau meminjamkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain, bagi mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut terdahulu oleh sebab pemilih atau pengundi itu telah mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya.

* Keduanya, kesalahan memberikan atau mendapatkan, atau bersetuju untuk memberikan atau mendapatkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan, apa-apa jawatan, kedudukan atau pekerjaan kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang lain.

* Ketiganya, perbuatan memberikan apa-apa pemberian atau pinjaman, atau membuat apa-apa tawaran atau janji atau mendapatkan apa-apa jawatan, kedudukan atau pekerjaan atau membuat apa-apa persetujuan yang disebut terdahulu kepada atau untuk mana-mana orang bagi mendorong orang itu supaya mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan mana-mana orang dipilih, atau untuk mendapatkan undi mana-mana pemilih atau pengundi dalam mana-mana pilihan raya.

* Keempatnya, kesalahan pemberian, pinjaman, tawaran, janji, pemerdapatan, atau persetujuan itu, mendapatkan atau mengaku janji, berjanji atau berusaha untuk mendapatkan mana-mana orang dipilih, atau untuk mendapatkan undi mana-mana pemilih atau pengundi dalam sesuatu pilihan raya.

* Kelimanya, mendahulukan atau membayar atau menyebabkan supaya dibayar apa-apa wang kepada, atau untuk kegunaan, mana-mana orang lain dengan niat supaya wang itu atau mana-mana bahagiannya dibelanjakan sebagai sogokan dalam mana-mana pilihan raya.

* Keenamnya, pemilih atau pengundi dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, menerima, bersetuju, atau membuat kontrak untuk mendapatkan apa-apa wang, pemberian, pinjaman, atau balasan bernilai, jawatan, kedudukan atau pekerjaan, untuk dirinya atau untuk mana-mana orang lain, kerana mengundi atau bersetuju untuk mengundi atau kerana tidak mengundi atau bersetuju untuk tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya itu.

* Ketujuhnya, menerima apa-apa wang atau balasan bernilai oleh sebab mana-mana orang mengundi atau tidak mengundi atau mendorong mana-mana orang lain supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya itu.

* Kelapannya, melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, oleh sebab dan sebagai bayaran kerana mengundi atau telah mengundi atau kerana bersetuju atau telah bersetuju untuk mengundi mana-mana calon dalam sesuatu pilihan raya, atau oleh sebab dan sebagai bayaran kerana dia telah membantu atau bersetuju untuk membantu mana-mana calon dalam sesuatu pilihan raya, memohon kepada calon itu, atau kepada ejen atau ejen-ejennya, untuk mendapatkan pemberian atau pinjaman apa-apa wang atau balasan bernilai, atau untuk mendapatkan janji mengenai pemberian atau pinjaman apa-apa wang atau balasan bernilai atau untuk mendapatkan apa-apa jawatan, kedudukan atau pekerjaan atau untuk mendapatkan janji mengenai jawatan, kedudukan atau pekerjaan.

* Kesembilannya, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang bagi pihaknya, bagi mendorong mana-mana orang lain supaya bersetuju untuk dinamakan sebagai seorang calon atau supaya tidak menjadi seorang calon atau supaya menarik diri jika dia telah menjadi seorang calon, memberikan atau mendapatkan apa-apa jawatan, kedudukan atau pekerjaan, atau bersetuju untuk memberikan atau mendapatkan atau menawarkan atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan apa-apa jawatan, kedudukan atau pekerjaan, kepada atau untuk orang lain itu, atau memberikan atau meminjamkan, atau bersetuju untuk memberikan atau meminjamkan, atau menawarkan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan apa-apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk mana-mana orang atau kepada atau untuk orang lain itu, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak orang lain itu.

Mereka disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 8 dan 10, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000, dan, dalam apa-apa hal lain, dipenjarakan tidak melebihi satu tahun dan didenda tidak melebihi RM2,000.

Selain itu, mereka yang disabitkan atas sesuatu perbuatan rasuah tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya atau dipilih dalam mana-mana pilihan raya, dan jika pada tarikh itu dia dipilih dalam mana-mana pilihan raya, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan. Hukuman ini berkuat kuasa selama lima tahun dari tarikh sabitan.

Ketika PRU15, SPR ada mengeluarkan arahan melalui poster infografik melarang pengundi daripada menggunakan telefon bimbit ketika membuang undi di tempat mengundi.

SPR tidak memberikan alasan kepada penguatkuasaan itu, tetapi difahamkan ia selaras dengan desakan beberapa pihak yang menyarankan agar SPR melarang pengundi membawa masuk telefon bimbit ke pusat mengundi untuk mengelakkan budaya rasuah.

Seksyen 8 tidak pernah dipinda sama sekali sejak Akta Kesalahan Pilihan Raya diperkenalkan. Kecuali Seksyen 10 yang pernah dipinda sekali pada 2003.

Pada 1969, Mahkamah Tinggi pernah menyabitkan kesalahan menyamar membabitkan lapan orang pengundi yang mengundi sebanyak dua kali di Kelantan.

Isu kali nampak lebih serius.

Soal rasuah dan sogokan pada musim pilihan raya sering menjadi isu, diperkatakan dan dibangkitkan oleh pembangkang. Pada waktu ini ia menjadi antara isu utama yang menjadi perhatian kesemua parti memandangkan kuasa pemerintahan sering kali berubah tangan.

Daripada soal membayar untuk tiket sehinggalah diberi bayaran untuk pelbagai tujuan, yang hanya diketahui pemilih dan pihak yang bertanding atau menurunkan calon masing-masing.

Isu ini menjadi semakin panas dan mendapat perhatian setiap pemegang taruh.

Tidak pernah ada situasi begitu ramai pemilih dan pengundi yang dipanggil dan akan dipanggil oleh SPRM. Siasatan dalam skala yang besar, yang memfokus perbuatan rasuah dan sogokan yang digariskan mengikut Seksyen 8 dan 10 dengan mendalam.

Bermakna satu isu lama yang kini semakin ketara, dan didapati dilakukan dengan terang-terangan, sama ada secara sedar akan kesalahan yang telah dilakukan atau sebaliknya.

Peruntukan undang-undang agak jelas mengenai perbuatan rasuah dan sogokan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya. Kedua-dua perbuatan ini boleh difailkan di mahkamah dalam bentuk petisyen dan disiasat pihak berkuasa.

Hampir semua parti yang bertanding dalam PRU15 mengemukakan tawaran dan janji melahirkan Malaysia yang bersih dan tadbir urus yang baik ketika berkempen, dalam bentuk manifesto. Malangnya, sebahagian pelanggaran yang dimaksudkan telah dilakukan secara langsung ataupun secara tidak langsung.

Justeru itu, ini masa untuk memantapkan kerangka perundangan semasa dengan memperkasakan Seksyen 8 dan 10 supaya kesalahan rasuah ketika pilihan raya dapat dan harus dihindari. Ini termasuklah definisi rasuah dan hukuman ke atas mereka yang disabitkan kesalahan.

Mereka yang disabitkan kesalahan, sama ada calon, ejen calon ataupun pengundi perlu dikenakan hukuman lebih berat, iaitu tidak boleh menyertai pilihan raya buat selama-lamanya. Begitu juga parti calon terbabit harus dibatalkan pendaftaran.

Kita perlu serius dalam menjamin kewujudan pilihan raya demokratik yang bersih.

Jika tidak kitaran tuding-menuding antara satu sama lain akan berterusan. Parti politik mempersalahkan pengundi kononnya mereka mahukan duit sebagai balasan untuk memberikan undi manakala pengundi pula mendakwa parti politik dan ahli politik kotor dan merosakkan jiwa tadbir urus politik.

Sama-sama kita bersihkan politik dan pilihan raya daripada anasir rasuah dan sogokan. – 7 Februari, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen