Isu etika pakaian, bekas KPN cadang laporan polis dibuat secara online


Alfian Z.M. Tahir

Bekas KPN Musa Hassan berkata masyarakat awam mungkin rasa teragak-agak untuk membuat laporan polis hanya kerana masalah kod pakaian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2023.

POLIS perlu memberikan opsyen membuat laporan secara atas talian jika mereka bertegas mahu orang awam mematuhi kod etika berpakaian ditetapkan untuk masuk ke balai polis, kata bekas ketua polis negara (KPN).

Musa Hassan berkata pakaian tidak sepatutnya menjadi isu, berhubung insiden seorang wanita tidak dibenarkan masuk ke balai polis kerana tidak berpakaian sopan.

Musa mengulas kenyataan KPN Acryl Sani Abdullah Sani yang berkata etika berpakaian untuk orang awam berurusan di balai polis ketika ini berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh ketua setiausaha negara.

Acryl berkata peraturan perlu dipatuhi, dan memetik “kesopanan dan kesusilaan” iaitu prinsip kelima Rukun Negara – sebagai asasnya.

”Kita mahu masyarakat yang berurusan di pejabat kerajaan dalam keadaan yang tertib dan sopan.

“Namun, kita boleh membuat kelonggaran (etika berpakaian) berdasarkan jenis kecemasan yang dihadapi pengadu ketika membuat laporan di balai polis,” kata Acryl dipetik sebagai berkata.

Musa bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight masyarakat awam mungkin rasa teragak-agak untuk membuat laporan polis kerana masalah kod pakaian.

“Polis patut terima laporan polis tanpa mengira bagaimana pengadu berpakaian kerana pasti ada sebab kukuh kenapa seseorang datang membuat laporan.

“Polis tidak boleh minta mereka tukar baju sebelum buat laporan. Itu akan menyusahkan mereka.

“Maka, sudah tiba masanya perlu ada alternatif. Mungkin orang awam boleh buat laporan secara atas talian,” kata Musa.

Minggu lalu, Ketua Balai Polis Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata siasatan awal mendapati wanita terbabit memakai seluar pendek atas paha dan hanya menukar kepada seluar panjang selepas tidak dibenarkan masuk ke balai.

Beliau mendakwa wanita terbabit pada awalnya enggan mematuhi arahan anggota polis untuk berpakaian sopan, dan malam membuat provokasi terhadap polis.

“Anggota polis menasihati wanita terbabit dengan sopan, dan dia keluar dari kawasan balai dan kembali semula 15 minit kemudian bersama dua rakan dan memakai seluar panjang.

“Gambar wanita itu memakai seluar panjang tersiar bersama artikel di di sebuah portal berita menunjukkan seolah-olah dia dilarang masuk ke balai walaupun selepas mematuhi kod berpakaian.

“Dia memakai seluar panjang seperti dalam artikel itu selepas diarahkan menukar kepada pakaian lebih sopan,” kata Zaid. – 7 Februari, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen