TIMBALAN Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu meminta semua pihak berlapang dada dan memberi peluang kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar membuktikan kemampuannya dalam memikul tanggungjawab sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
Beliau berkata tanggungjawab itu bukan satu tugas mudah, pengalaman yang ada pada anak perdana menteri itu mampu memberi nilai tambah dalam menyumbang kepada penyelesaian pelbagai masalah membabitkan rakyat.
“Selain lantikan (Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan) yang dibuat oleh perdana menteri, Nurul Izzah juga mempunyai dua ijazah dan pernah menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Tentunya saya fikir kita boleh meletakkan keyakinan kepada beliau (Nurul Izzah) untuk menyelesaikan segala masalah membabitkan hal ekonomi, kewangan dan kos sara hidup yang membelenggu rakyat buat masa ini,” katanya.
Ahmad Faizal yang lebih mesra dengan panggilan Peja berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Kenduri Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tambun di Dewan Orang Ramai Sungai Tapah, di Ipoh hari ini.
Pada 29 Januari lalu, Nurul Izzah mendedahkan beliau dilantik menyandang jawatan berkenaan berkuat kuasa 3 Januari lepas dan matlamat utamanya adalah untuk memperbaiki keadaan ekonomi rakyat selain isu kemiskinan, pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) di negara ini. – Bernama, 5 Februari, 2023.
Komen