PERIKATAN Nasional (PN) mahu Putrajaya meneruskan peruntukan pembangunan kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti seperti yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini, kata ketua whipnya Takiyuddin Hassan.
Beliau yang juga ahli Parlimen Kota Bharu berkata, PN memandang berat kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengesahkan peruntukan pembangunan kepada semua ahli Parlimen akan dikurangkan sebanyak 65% tahun ini.
“Peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui ahli Parlimen yang memberikan manfaat dan faedah terus kepada rakyat tidak sepatutnya diganggu meskipun dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa Anwar memberi jaminan bahawa peruntukan itu akan disalur ahli Parlimen merentas parti seperti sebelum ini.
Peruntukan itu sebelum ini disalur terus kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen melalui Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Takiyuddin juga mengingatkan jaminan itu selaras dengan janji Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 yang terkandung dalam manifestonya Tawaran Harapan.
Tawaran PH atas tajuk “Peruntukan Kawasan Sama Rata” menyebut gabungan itu akan menyediakan dana pembangunan kawasan pilihan raya sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti “kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di kawasan itu.”
PH juga berjanji peruntukan itu akan diberikan melalui Parlimen dan bukan Pejabat Perdana Menteri.
“PN mengharapkan Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengutamakan kepentingan rakyat dan mengurangkan unsur-unsur seumpama deraan dan balas dendam kepada pihak pembangkang,” tambah Takiyuddin.
Beliau mengingatkan kerajaan bahawa ahli Parlimen pembangkang juga menerima mandat sah daripada rakyat melalui pilihan raya.
Semalam Anwar berkata peruntukan pembangunan kepada ahli Parlimen akan dikurangkan daripada RM3.8 juta menjadi RM1.3 juta untuk mengawal perbelanjaan negara.
Ia bagaimanapun akan dinilai semula apabila keadaan ekonomi dan kewangan bertambah baik pada masa akan datang, katanya. – 4 Februari, 2023.
Komen