Pengasas JJPTR mengaku tidak bersalah beri maklumat palsu


Looi Sue-Chern

Pengasas JJ Poor to Rich Lee Ching Sen (tengah) bersama peguamnya G. Jaya Prem dan Nick Tan Meow Khoon, di luar Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Mac, 2018.

LEE Chong Sen, individu yang menjalankan skim pelaburan forex yang berpangkalan di Pulau Pinang, JJ Poor to Rich (JJPTR), mengaku tidak bersalah atas dakwaan memberi maklumat palsu mengenai JJ Global Network.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pagi ini mengikut Seksyen 364 (2) Akta Syarikat kerana didakwa memberi kenyataan palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di pejabat KWSP Seberang Jaya pada 15 Disember 2016. 

Dia berhadapan hukuman penjara 10 tahun, denda maksimum RM250,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Noor Aini Yusof membenarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 12 April bagi penyerahan dokumen untuk pengurusan kes.

Timbalan Pendakwaraya Faizal Mahdi Mahmud dan Mohd Fairuz Othman memohon supaya mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000.

Namun peguam Lee G. Jaya Prem dan Nick Tan Meow Khoon memohon ikat jamin yang lebih rendah, bertegas bahawa Lee memberikan kerjasama dan tidak ada niat untuk melarikan diri.

“Dia telah bekerjasama dengan SSM dari awal. Dia juga hadir setiap kali agensi berkenaan meminta keterangannya.

“Perdapatannya juga sekitar antara RM3,000 dan RM5,000 sebulan hasil daripada pekerjaan sampingan, dan terpaksa menyara keluarga, termasuk neneknya. Ayahnya tidak bekerja,” kata Prem.

Lee, 29, yang dikenali sebagai Johnson Lee, memulakan skim pelaburan forex tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia pada Mei 2015.

Perniagaan itu menawarkan pulangan bulanan sebanyak 20% kepada pelabur untuk pelaburan serendah AS$25 hingga maksimum AS$1,000.

Syarikat itu kemudiaanya mengalami masalah pada tahun lepas selepas mendakwa akaun pelaburannya digodam, yang mengakibatkan kerugian lebih AS$400 juta (RM1.7 bilion).

Lee pada awalnya memberitahu pelabur bahawa dia akan membayar semula ganti rugi dan membentuk skim baru. Ada antara pelabur yang baru sahaja menyertai skim tersebut dilaporkan mendapat semula wang mereka.

Pada Mei, polis menahan Lee dan dua lain di Petaling Jaya kerana menipu selepas beberapa laporan polis dibuat terhadap syarikat berkenaan.

Penahanan dilakukan selepas pihak berkuasa menyerbu lapan premis JJPTR di Pulau Pinang dan menahan 15 pekerja serta empat pelabur bagi tujuan soal siasatan dan dokumentasi.

Lee dan dua pembantunya Pang Chee Peng dan Lim Seong Wei didakwa atas tuduhan melakukan penipuan pada September di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah.

Kes berkenaan mendapat liputan meluas media. Polis percaya seramai 400,000 rakyat Malaysia dan warga asing menjadi mangsa skim tidak berlesen itu. – 13 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen