Lapan pagi waktu pejabat bukan waktu sekolah


BARU-BARU ini muncul satu cadangan berkenaan perubahan waktu persekolahan daripada jam 7:30 pagi kepada 8:00 pagi. Pelbagai reaksi daripada pihak guru dan ibu bapa dapat dilihat apabila isu ini menjengah ke media sosial, ada yang menyokong dan ada juga yang menolak. 

Jika sesi persekolahan pagi bermula pada pukul 8:00 pagi maka ia akan berakhir pada pukul 4:00 petang. Ini hanya terpakai bagi sekolah sesi pagi sahaja. Namun bagaimana pula dengan sekolah yang mempunyai dua sesi persekolahan?

Memulakan waktu persekolahan dengan melewatkannya selama 30 minit bukanlah satu cadangan yang signifikan, atau penyelesaian kepada gejala datang lewat ke sekolah. 

Hal ini melihat kepada realiti dan keadaan semasa di kebanyakan sekolah harian biasa, memulakan persekolahan pada jam 7:30 pagi sering perlu berhadapan dengan isu kedatangan lewat yang disengajakan. 

Mengapa disengajakan? Memulakan persekolahan pada jam 7:30 pagi telah berlangsung bukan 10 tahun kebelakangan tetapi sudah berlangsung berdekad lamanya. Seharusnya, tidak wujud isu pengurusan masa sama ada dari pihak ibu bapa atau murid sehingga perlu kepada tambahan 30 minit itu. 

Selain itu, perlu diberikan perhatian juga kepada sekolah-sekolah yang mempunyai dua sesi persekolahan. Sekiranya sesi pagi bermula lewat maka sesi petang pula akan berakhir lewat. 

Jika kita mahu menyelesaikan satu permasalahan yang sebenarnya bukan pun suatu permasalahan, maka kita hanya memulakan satu lagi permasalahan yang sepatutnya tidak dimulakan. The early bird catches worm!

Seharusnya, kita tekad dengan prinsip pendidikan dalam mendidik murid untuk mendisiplinkan diri dengan pengurusan jadual, menguruskan waktu tidur dan menyediakan keperluan untuk ke sekolah pada keesokkan harinya. 

Nilai berdisiplin dan menguruskan diri ini seharusnya diperkasakan dalam membentuk jati diri bukan “dimanjakan’ dan diberikan terlalu banyak kelonggaran. 

Jika hari ini kehadiran pada pukul 7:30 pagi ‘menjadi masalah’ dan masih ramai yang culas, tidak mengejutkan persekolahan pada 8:00 pagi juga akan menghasilkan keadaan yang sama. Adakah kita akan terus menerus melonggarkan waktu pagi kita? 

Bertolak-ansur dalam soal masa hanya akan memperlonggarkan lagi pengurusan masa dan sikap bertangguh-tangguh dengan masa. 

Masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya ia pasti akan membinasakan kita - pepatah Arab yang terkenal tentang kepentingan waktu. 

Menoleh sedikit kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), pokok kepada pendidikan negara bukan hanya untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bahkan bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. 

Selain itu, falsafah pendidikan ini turut berhasrat menanam nilai kebertanggung jawaban individu terhadap kesejahteraan diri, masyarakat dan negara. 

Justeru, nilai bertanggungjawab haruslah dipupuk dalam diri generasi ini dalam menguruskan waktunya dengan sepenuh keupayaan dan kemahuan demi kemajuan diri. 

Jika hujah mempertimbangkan psikologi murid digunakan untuk menambah 30 minit itu, seharusnya lebih bermakna untuk diwacanakan kewajaran waktu yang diperuntukkan bagi kurikulum murid dan waktu keberadaan murid di sekolah. 

Hal ini kerana, menghimpunkan pelbagai mata pelajaran dalam sehari bersama silibus pembelajaran yang berat lebih membebankan untuk dihadapi murid berbanding memulakan rutin ke sekolah pada awal pagi. 

Lebih baik dijalankan satu penyelidikan berkenaan jumlah subjek yang seimbang bagi kesihatan mental dan tahap penerimaan minda murid yang pelbagai tahapannya. 

Selain kebajikan dan kemenjadian murid, guru sebagai pelaksana kepada semua dasar kementerian juga seharusnya diberikan perhatian sekiranya ingin dilaksanakan perubahan ini. Seandainya cadangan ini dilaksanakan, guru di sekolah akan menjadi ‘penjaga’ murid dari jam 8:00 pagi sehingga 4:00 petang. 

Tugas guru yang sedia ada sudah cukup membebankan, contohnya tugas-tugas pengkeranian yang tidak termasuk dalam skop pengajaran dan pembelajaran, dan bagi guru yang perlu menjaga di pagar sekolah perlu hadir lebih awal sebelum waktu itu kemudiannya terpaksa bergegas untuk masuk ke kelas untuk memulakan sesi pembelajaran, ini adalah antara dua contoh.

Di mana waktu persendirian guru? Adakah tugas guru kini juga sudah ditambah sebagai penjaga kedua murid. Urusan berkaitan kerajaan dan perbankan misalnya, tidak dapat diselesaikan sekiranya waktu persekolahan ditambah 30 minit kerana premis-premis tersebut telah ditutup untuk urusan rasmi. 

Adakah pihak yang memberikan cadangan atas alasan Madani ini pernah memposisikan dirinya sebagai seorang guru di sekolah harian biasa bukan sekolah berasrama penuh, sekolah bestari atau sekolah kluster? 

Masa bagi setiap individu adalah relatif, ada yang dibiarkan begitu sahaja dan ada yang sentiasa perlu terkejar-kejar dengan masa yang terhad. Guru juga mempunyai keluarga yang perlu dijaga dan diambil kira kesejahteraan dan kesihatannya. 

Akhir sekali, 8 pagi adalah waktu pejabat dan bukannya waktu sekolah. Sekolah ialah institusi yang menyeragamkan disiplin murid tetapi sekolah bukanlah penjara, Murid bukanlah banduan tetapi bukanlah juga bermaksud bebas melakukan apa saja. 

Hadir ke sekolah pada awal pagi adalah intipati tersirat aturan kehidupan yang wajar dimulakan dengan tidak melanggar peraturan. 

Sekolah tidak wajar dijadikan medan uji kaji bagi idea-idea popular atau eksperimetasi mana-mana pihak. 

Sewajarnya, sekolah tidak kiralah di peringkat rendah atau menengah, tidak terkait dengan perubahan-perubahan yang bersifat trending atau ‘dicedok’ daripada lawatan-lawatan ke negara luar, tetapi tetaplah kekal dengan orientasi dan tradisi yang tidak mengurangi kemenjadian murid. 

Misalannya, orientasi berasaskan sistem peperiksaan yang sebelum ini menjadi objektif kehadiran murid ke sekolah. 

Memulakan sesi persekolahan pagi mahupun petang, menukar kasut putih kepada kasut hitam pada akhirnya bukanlah isu pokok yang perlu diperlanjutkan tetapi hal yang lebih utama ialah apakah ia perubahan yang penting atau sekadar isu tempelan yang tidak membuahkan apa-apa hasil dalam kemenjadian murid dan kebajikan guru? – 4 Februari, 2023.

* Kartini Hayati, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen