Bersatu tak perlu bimbang jika sumber dana sah, kata Azam Baki


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menegaskan siasatan terhadap Bersatu dijalankan secara telus dan profesional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari 2023.

AKAUN Bersatu dibeku bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat punca sumber kewangan parti berkenaan, kata Azam Baki.

Ketua pesuruhjaya agensi antirasuah itu berkata tiada apa yang perlu dibimbangkan jika dana Bersatu datang daripada sumber yang sah.

“SPRM sedang menyiasat dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. Menjadi kewajipan kami untuk menyiasat. Antara tumpuan kami ialah untuk menetukan sama ada sumber dana tersebut diperolehi secara sah atau tidak,” katanya dipetik New Straits Times.

Tambahnya jika hasil siasatan mendapati wujud salah laku, kertas siasatan akan diserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Beliau selain itu menegaskan siasatan terhadap Bersatu dijalankan secara telus dan profesional.

Azam selanjutnya berkata SPRM dipertanggungjawabkan untuk menyiasat mana-mana parti sama ada dalam kerajaan atau pembangkang apabila laporan.

“Kami menjalankan siasatan berdasarkan laporan yang dibuat. Jika wujud salah guna kuasa sudah tentu ada pihak yang mahu melaporkannya.

“Bagaimanapun, tiada dakwaan sedemikian terhadap kerajaan,” katanya.

Rabu lalu, Azam mengesahkan beberapa akaun parti Bersatu dibeku bagi membantu siasatan berhubung salah laku didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut.

Ketua pengarah agensi itu Azam Baki mengesahkan dua akaun Bersatu dibekukan bagi siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram, katanya seperti dilapor media.

Siasatan dipercayai berhubung penyelewengan dana RM600 bilion yang digunakan ketika negara berhadapan pandemik Covid-19 di bawah pentadbiran Perikatan Nasional.

Semalam, Bersatu berkata parti itu akan memohon kepada SPRM untuk membatalkan pembekuan akaunnya.

Presidennya Muhyiddin Yassin berkata pembekuan tersebut mengganggu operasi parti kerana terhalang dari menunaikan tanggungan bayarannya. – 3 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen