Usul tidak tanding 'top 2' tak langgar perlembagaan Umno, kata Ahmad Maslan


Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata sudah banyak kali dalam sejarah 77 tahun Umno jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari 2023.

SETIAUSAHA Agung Umno Ahmad Maslan berkata tiada pelanggaran perlembagaan atau Peraturan Mesyuarat ketika Perhimpunan Agung 2022 baru-baru ini, yang melibatkan kelulusan usul tambahan tiada pertandingan dua jawatan tertinggi parti pada pemilihan akan datang.

“Semua berjalan dengan teratur. Sekitar 90 peratus perwakilan setuju dengan usul tiada pertandingan presiden dan timbalan. Sudah banyak kali dalam sejarah 77 tahun umur Umno jawatan itu tidak dipertandingkan,” katanya dalam satu kemas kini di laman Facebooknya hari ini.

Dua hari lepas, Ahmad berkata Umno memberi penjelasan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno 2022 untuk jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Katanya beliau sudah menemui Ketua Pengarah RoS Mohd Nawardi Saad dan timbalannya di Putrajaya berhubung isu itu.

Ia susulan tindakan dua ahli Umno pada 20 Januari mengemukakan aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan tersebut yang didakwa tidak sah. – Bernama, 3 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen