Kerajaan tak campur tangan SPRM beku akaun Bersatu, tegas Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan di bawah kerajaan perpaduan pimpinannya semua agensi penguatkuasaan bebas menyiasat dan menyemak akaun mana-mana parti atau organisasi. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 2 Februari 2023.

SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Bersatu dilakukan secara bebas tanpa campur tangan kerajaan, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata tindakan SPRM membeku akaun Bersatu bukan atas arahan beliau, menegaskan semua agensi penguatkuasaan di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinannya bebas menyiasat dan menyemak akaun mana-mana parti atau organisasi.

“Tidak bertanggungjawab bagi tokok-tokoh parti politik pembangkang yang dalam proses siasatan membuat tohmahan tentang campur tangan dari pihak kerajaan perpaduan.

“Kita tidak mengulangi sikap menekan seperti yang dilakukan dulu. Kita tidak menggunakan badan-badan ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Anwar menjelaskan siasatan SPRM ke atas Bersatu dijalankan susulan laporan yang dibuat terhadap parti itu.

“Perkara yang berlaku ada dua hal. Pertama, ada laporan dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM tentang penggunaan wang oleh parti Bersatu.

“Kedua, saya jalankan kerja saya di Kementerian Kewangan dan lihat projek-projek yang menelan belanja terlalu tinggi tanpa proses tender. Kalau proses tender itu tidak dilakukan dan kos tidak melambung, itu tidak menjadi isu.

“Kita tidak menghukum sesiapa. Jadi dalam projek umpamanya Projek Jana Wibawa (semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)), tebatan banjir, kita dapati kos terlalu tinggi. Maka saya dedahkan maklumat dari Kementerian Kewangan.

“Apa yang dilakukan SPRM itu tidak tertakluk kepada pandangan saya, tetapi tertakluk kepada siasatan yang mendapati dalam akaun parti ada lebih RM300 juta. Jadi tentulah harus dijelaskan,” jelas perdana menteri.

Tambah beliau, sekiranya sekiranya Bersatu bersih seperti yang didakwa pimpinan parti perlu memberi penjelasan bagaimana pengumpulan wang begitu banyak dapat dilakukan dalam waktu yang singkat, termasuk sumbernya.

“Sekiranya mereka parti bersih seperti mana diceritakan, mereka kena jelaskan mengapa dalam masa singkat boleh kumpul wang sebegitu banyak.

“Dari sumber mana dan kepada siapa? Itu tugas SPRM (siasat) dan barulah dibawa ke Jabatan Peguam Negara, ikut proses. Lebih daripada itu, saya tidak tahu.

“Tetapi yang kerajaan perpaduan ingin tegaskan adalah arahan siasatan semua tidak terkecuali untuk parti kerajaan atau pembangkang. Ini yang kita tegaskan untuk mengelak sebarang kekeliruan,” kata Anwar.

Ketua Pengarah SPRM Azam Baki semalam mengesahkan dua akaun Bersatu disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin semalam mendakwa kerajaan menggunakan SPRM sebagai alat untuk “membunuh” kredibiliti Bersatu serta PN.

Beliau juga mendakwa tindakan itu bagi mengalih perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan dan amalan nepotisme kerajaan pimpinan Anwar.

Sementara itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam sidang media hari ini menegaskan parti itu tidak pernah menerima sebarang dana daripada pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM92.5 bilion semasa beliau perdana menteri, seperti didakwa beberapa pihak sebelum ini. – 2 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen