Menilai peperangan puak dalam Umno


Mohd Azizi Jaeh

Makin ramai tokoh di dalam dan luar parti menganggap Umno kini sebagai alat untuk mencari keuntungan dan bukan lagi perjuangan orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2023.

SEPERTI yang dijangka, perkembangan politik Umno meletakkan pengikut parti itu kini dalam keadaan dilema dan serba salah. Sama ada memilih untuk kekal setia dengan presiden Umno, atau memilih keluar mengikut haluan berbeza.

Pemecatan dan penggantungan keahlian ahli atau beberapa tokoh heavyweight Umno pada 28 Januari lalu bukanlah suatu peristiwa yang luar biasa. Ia sekadar mengulangi kitaran sejarah perkelahian dalaman Umno.

Mengimbau sejarah Umno, nama besar yang melanggar tradisi dan melawan ketetapan parti akan dipecat daripada hierarki kuasa seperti yang terjadi pada Dr Mahathir Mohamad yang mengkritik kepemimpinan Tunku Abdul Rahman.

Begitu juga Anwar yang menentang dan melancarkan gerakan Reformasi terhadap pemerintahan Mahathir, sementara Muhyiddin Yassin yang memprotes dan berbeza pandangan dalam pentadbiran Najib Razak turut tersingkir.

Ketiga-tiga tokoh alumni Umno yang pernah dipecat dari parti ini akhirnya berjaya menjadi perdana menteri atas bendera parti yang berbeza.

Pada 2023 sekali lagi episod penting penyingkiran tokoh Umno berulang. Tindak balas Presiden Umno Ahmad Zahid bukan suatu yang memeranjatkan memandangkan ia bermula sebelum PRU15 lagi.

Justeru, pemecatan Khairy Jamaluddin yang juga bekas ketua Pemuda Umno dan bekas pengerusi Umno Selangor Noh Omar boleh disifatkan sebagai proses menyempurnakan rancangan yang tertangguh sebelum PRU15 lagi. Tidak hairanlah nama kedua-dua mereka digugurkan daripada senarai calon PRU.

Tidak kurang juga senarai nama yang digantung keahlian melibatkan Hishamuddin Hussein, bekas naib presiden Umno dan Shahril Sufian Hamdan, bekas ketua penerangan Umno. Tindakan yang juga dinamakan sebagai pembersihan secara total ini menurut Zahid untuk memerangi kumpulan pengkhianat dan penderhaka parti.

Kesan tindakan ini disusuli dengan serangan bertali arus pengkritik kepada Zahid. Ada yang sinis dan memperolokkan rencana ini seolah-olah adaptasi daripada sebuah filem Amerika “The Purge: Election Year”, tetapi pembasmian diusahakan Zahid dalam bentuk dan versi Malaysia. 

Sejurus saja kerusi presiden dan timbalannya diisytihar tidak akan dipertandingkan dalam Perhimpunan Agong Umno (PAU) lepas, tindakan pre-emptive digunakan sebagai senjata untuk mengukuhkan kuasa dan ini digemblengkan sepenuhnya Zahid untuk memusnahkan langkah taktikal tokoh Umno yang tidak sealiran dengannya.

Tindakan memecat beberapa nama tersebut mungkin diterima sesetengah pihak dalam Umno, tetapi tidak kurang juga ditolak secara senyap oleh penyokong dalaman parti. Langkah ini dikira akan memperkukuh kedudukan presiden dan lingkungan pengikutnya – sekali gus memberi kesan limpah yang boleh menjejaskan kedudukan kumpulan yang berseberangan dalam Umno.

Pertembungan puak kelihatan semakin ketara dan tidak dapat dielakkan. Sesuatu parti tidak boleh mempunyai dua pengendali. Salah satu kumpulan atau kepala pastinya akan tercampak dan tersingkir. Akhirnya, Umno kini terbelah dalam peperangan puak untuk menguasai teraju parti.

Strategi dan pendekatan konfrontasi ke atas musuh dan anasir dalaman Umno (dalam konteks kes pemecatan) merupakan formula berkesan untuk melumpuhkan sebarang bentuk gerakan puak yang bertentangan dengan mereka.

Dua puak bertentangan

Sikap dan gelagat yang ditunjukkan antara kedua-dua puak ini (sama ada pro atau antipresiden) akan bersabit dengan dua tuduhan bagi memenangi pendapat awam; antara kesetiaan dan penderhakaan, antara ketaatan dan kecurangan dan antara perlindungan dan penyisihan.

Bibit perpecahan dan pengenalan puak dalam Umno lebih awal bermula sebaik saja kekalahan Umno dalam PRU14 lagi. Tanda ketidakstabilan dalaman muncul berikutan kecondongan berpuak dan pergeseran kepentingan mula timbul. Setiap pemimpin mempunyai jurucakap yang dibiayai untuk saling menyerang pihak yang bertentangan dengan presiden.

Salah satu unsur penting konflik dalaman Umno ialah ketidakserasian kelompok yang berkuasa dengan yang dikuasai. Dalam keadaan biasa, konflik ini di antara hierarki pemimpin parti yang menjadi sebahagian kerajaan masa kini dengan bekas menteri yang kini tidak lagi berjawatan.

Malah berlakunya kebalikan ketika era perdana menteri Ismail Sabri apabila tokoh yang tidak memiliki jawatan tertinggi dalam Umno ketika itu menyandang jawatan menteri.

Persepsi mereka turut didominasi pandangan bahawa kluster menteri Umno sejak era Ismail Sabri sarat muatan dengan tingkah laku pengkhianatan dan membantu musuh untuk membunuh Umno.

Hal ini merujuk kepada kecondongan golongan yang digelar kluster Putrajaya ketika itu kepada parti Bersatu dan PAS. Lebih mencuri tumpuan wujudnya situasi parti dalam parti. 

Apa yang menarik perhatian, puak yang dibersihkan daripada Umno baik Hishamuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Noh Omar dan Shahril Hamdan merupakan kumpulan strategik semasa pentadbiran Ismail Sabri.

Ia seakan-akan untuk menghapuskan pengaruh orang yang dekat dengan lingkungan naib presiden Umno itu.

Namun, pemimpin yang dipecat dan digantung ini tidak memiliki pasukan dan ketua yang jelas di antara mereka bagi menyekat kemaraan Zahid menjadi presiden kerana mereka tidak mengisytiharkan siapa calon presiden pilihan.

Kelemahan ini harus diakui. Lagi pula, mereka tidak menghasilkan kesan berganda melalui penentangan dan cabaran yang signifikan seperti mana Anwar melawan Mahathir lebih dua dekad lalu.

Yang wujud kini ialah citra suatu kelompok yang dominan terdiri daripada satu watak dikelilingi orang-orang yang mencium tangan presiden. Sekiranya mereka berani berbeza pandangan, maka akan berakhir riwayat keanggotaannya dalam kelompok kepimpinan itu.

Apa yang boleh dipelajari?

Umno sebagai sebuah parti Melayu kini makin ditelan usia. Ia makin jauh meninggalkan zaman kegemilangannya dan makin ramai tokoh di dalam dan luar parti menganggapnya sebagai alat untuk mencari keuntungan dan bukan lagi perjuangan orang Melayu. 

Namun dalam kalangan mereka sudah tentu ada yang menganggap masanya kini telah tiba untuk bertindak selangkah lagi supaya yang menang akan mendapat semua.

Paling mustahak lagi menghindarkan usaha saki baki puak anti-Zahid untuk melemahkan kepemimpinannya dari dalam memandangkan pemilihan untuk jawatan lain akan dipertandingkan.

Jika perpecahan puak ini tidak ditangani dengan sepakat dan penyatuan semula, Umno akan menuju akhir hayatnya dengan lebih cepat. Tambahan pula PRN akan berlangsung pada bila-bila masa dari sekarang. – 2 Februari, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen