Putrajaya guna SPRM untuk bunuh Perikatan, kata Hamzah


Alfian Z.M. Tahir

Hamzah menyeru semua ahli dan pemimpin parti bersabar dan terus istiqamah dalam menghadapi ujian itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2023.

PUTRAJAYA didakwa menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat untuk menghancurkan Perikatan Nasional, kata Hamzah Zainuddin selepas badan itu membekukan dua akaun Bersatu.

Setiausaha Agung Bersatu itu berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan SPRM dalam usaha untuk menghentikan fitnah jahat tersebut terhadap partinya.

Dilaporkan hari ini SPRM membeku dua akaun Bersatu berkait dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Bersatu dapat menerima alasan, langkah yang diambil SPRM itu adalah sebahagian daripada proses siasatan mereka terhadap fitnah yang dilemparkan kepada Bersatu.

“Para pemimpin dan pegawai Bersatu yang diminta memberi keterangan kepada SPRM juga diarahkan agar memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah mendakwa gerakan membeku akaun parti sebenarnya bagi mengalih perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan dan amalan nepotisme kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim

Ketua Pengarah SPRM Azam Baki memberitahu The Malaysian Insight dua akaun milikparti itu dibekukan bagi siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran siasatan.

Pada 6 Januari lalu, SPRM menahan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat yang didakwa menjadi orang tengah bagi projek bawah paket tersebut untuk tahun 2020 hingga 2022.

SPRM sudahpun membuka beberapa kertas siasatan ke atas lima individu yang didakwa sebagai dalang atau orang tengah berkaitan penyelewengan dana tersebut.

Siasatan itu didakwa berkait projek berjumlah antara RM50 juta hingga RM500 juta melalui rundingan terus.

Pada 15 Disember lalu, SPRM menyerbu lapan agensi kerajaan dan sembilan syarikat berhubung dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion oleh kerajaan pimpinan PN. – 1 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen