KEMENTERIAN Belia dan Sukan tidak membenarkan sebarang bentuk perkauman, kata timbalan menteri Adam Adli Abd Halim, merujuk kepada seorang pemain hoki wanita senior negara yang membuat kenyataan berbaur perkauman di media sosial baru-baru ini.
Adam, yang juga ketua Pemuda PKR berbilang kaum, berkata walaupun terdapat perbezaan kaum dan agama dalam kalangan rakyat Malaysia, “keajaiban” sukan dan makanan itulah yang menyatukan mereka.
“Sukan adalah sesuatu yang menyatukan semua orang, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
“Kami akan sentiasa menggunakan sukan dan makanan untuk menyatukan rakyat Malaysia.
“Jadi, kami tidak membenarkan sebarang bentuk perkauman,” kata Adam kepada The Malaysian Insight.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata sukan adalah ekosistem yang harus bebas daripada perkauman.
“Pasukan negara kita, tidak kira sama ada hoki, bola sepak dan lain-lain, sentiasa terdiri daripada pelbagai kaum.
“Jadi saya harap kita sentiasa pelihara (perpaduan) ini,” katanya.
Hanis Nadiah Onn menerusi akaun Instagramnya meninggalkan komen berbaur perkauman berkaitan konsert penyanyi dan komposer terkenal India yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selepas menyedari komennya telah menjadi tular dan mencetuskan kemarahan, dia menyiarkan permohonan maaf di laman Instagramnya.
“Saya Hanis Nadiah Onn, pemain hoki negara, dengan rasa rendah diri dan tanggungjawab ingin memohon maaf kerana sengaja menghantar komen pada 28 Januari,” katanya dalam catatan itu.
Pemain berusia 26 tahun itu yang membantu Malaysia memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2015 dan 2017 berkata, dia menyedari komen itu telah menyinggung perasaan banyak pihak, sambil menambah dia telah memadamkannya.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh telah meminta Majlis Sukan Negara (MSN) menyiasat pemain hoki itu.
Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berkata jawatankuasa disiplinnya akan memanggil pemain terbabit sebagai sebahagian daripada siasatannya.
“Hasil siasatan itu akan diserahkan kepada Yeoh untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Adam berkata, kementerian tidak boleh tergesa-gesa dalam perkara itu dan mengambil keputusan drastik.
Katanya, proses sewajarnya perlu dipatuhi sebelum sebarang keputusan sewajarnya diambil.
“Ia telah menjadi perhatian kami. Beri masa kerana kami mempunyai prosedur untuk diikuti. Kami pasti akan menanganinya,” katanya.– 2 Februari, 2023.
Komen