Agensi pelancongan borong tiket pukal, Motac batal lesen jika langgar peraturan


Kata Tiong, timbalannya Khairul Firdaus Akbar Khan sudah menjalankan siasatan berkaitan isu tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2023.

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan mengambil tindakan tegas membatalkan lesen agensi pelancongan jika didapati pihak terbabit menyalahi peraturan, kata Menterinya Tiong King Sing.

Beliau berkata kementeriannya sudah menjalankan siasatan mengenai isu yang mendakwa ada beberapa agensi pelancongan tempatan memborong tiket penerbangan secara pukal.

“Saya sudah meminta Timbalan Menteri (Khairul Firdaus Akbar Khan) menjalankan siasatan untuk isu ini dengan mengadakan pertemuan bersama ejen-ejen pelancongan. Semalam, beliau baru habis menjalankan siasatan dan saya belum berkesempatan bertemu beliau untuk mendapatkan maklumat lengkap,” katanya.

Tiong yang ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching berkata beliau akan membuat kenyataan lanjut esok sekiranya sudah mendapat maklumat lengkap tentang perkara itu sebelum ke Indonesia bagi menghadiri Forum Menteri ASEAN.

“Bila-bila saya dapat semua (maklumat) saya akan umum. Kalau tidak sempat, saya akan umumkan sebaik sahaja balik dari Indonesia pada 7 Februari,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan terdapat beberapa syarikat umrah tempatan yang ‘memborong’ tiket penerbangan ke tanah suci dan didakwa turut menjualnya kepada agensi umrah di Indonesia pada harga sehingga RM6,000 bagi mengaut keuntungan besar. – Bernama, 1 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen