Suara reformis dalam Umno senyap susulan pembersihan, kata Khairy


Desmond Davidson

Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau masih memikirkan masa depannya dalam politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2023.

BEKAS ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata beliau tidak lagi optimis pembaharuan boleh dilakukan dalam parti kerana suara reformis disenyapkan berikutan pembersihan parti baru-baru ini.

Beliau berkata mereka yang sehaluan, menuntut pembaharuan selepas parti itu mengalami prestasi pilihan raya yang paling teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, bimbang mereka boleh dipecat atau digantung.

“Mereka takut akan menjadi seperti saya dan beberapa yang lain.

“Pemecatan, pembersihan, apa sahaja yang anda panggil, menimbulkan ketakutan kepada mereka. Suara reformis sudah dilenyapkan,” kata bekas menteri kesihatan itu dalam wawancara di Astro Awani malam tadi.

Khairy berkata, beliau bagaimanapun berharap penyokong akar umbi “cinta sejati” beliau, Umno, yang “tidak diberi hak untuk memilih siapa yang sepatutnya menjadi presiden mereka”, akan meneruskan perjuangan untuk mereformasi parti.

Sambil menyifatkan Umno sebagai “sekolah lama” yang dipenuhi dengan ramai “lelaki kaki bodek”, Khairy berkata beliau tidak menjangkakan reformasi akan berlaku dalam masa terdekat.

“Bukan dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang. Mungkin lebih lama daripada itu.

“Sekiranya kita tidak bangun dari tidur kita sekarang, trajektori (parti) akan terus menurun.”

Katanya Umno bukan lagi pilihan orang Melayu.

“Umno adalah pilihan ketiga. Di belakang PAS dan Bersatu. Orang Melayu sudah maju. Ada pilihan lain.”

Mengenai masa depannya, Khairy sekali lagi berkata semua pilihan untuk meneruskan karier politiknya, termasuk menubuhkan parti baharu, sedang dipertimbangkan.

Malah mengambil cuti sabatikal daripada politik juga sedang dipertimbangkan, katanya, mengulangi beliau tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan.

“Saya tidak mahu membuat keputusan hanya untuk menyesal kemudian.”

Beliau berkata keputusan yang dibuatnya adalah komitmen jangka panjang.

“Saya bukan katak untuk melompat dari satu parti ke parti yang lain.”

Beliau berkata terdapat tawaran daripada parti politik dan beliau sudah bertemu dengan mereka untuk mendengar apa yang mereka tawarkan.

“Saya sudah berjumpa dengan mereka. Saya ingin tahu rancangan mereka kerana saya dihalau keluar dari rumah saya selepas 23 tahun.

“Ada orang yang sudi menerima saya dan memberi saya perlindungan dan saya pasti mempertimbangkannya.”

Namun Khairy berkata beliau perlu berasa selesa berada di dalam parti itu manakala ahli parti juga selesa menerima kehadirannya.

Beliau berkata, mesti ada keserasian antara beliau dan ahli parti.

“Saya tidak mahu pergi ke tempat yang saya tidak selesa. Mesti ada penerimaan.

“Adakah mereka mempercayai saya? Saya perlu mempertimbangkan semua ini sebelum saya membuat keputusan.

“Apa sahaja keputusan yang saya buat adalah sangat penting dan ia tidak akan dibuat dalam sekelip mata.”

Khairy berkata beberapa parti cuba menjemputnya menyertai mereka dengan segera kerana mereka perlu membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang di enam negeri Semenanjung.

Beliau berkata sudah memaklumkan kepada mereka beliau tidak akan menyertai mereka hanya untuk pilihan raya negeri, sambil menambah akhirnya beliau mungkin tidak akan menyertai mana-mana parti itu.

“Saya tidak pasti ke mana saya mahu pergi atau arah tuju saya.”

Khairy bersama seorang lagi pemimpin veteran parti, Noh Omar dipecat daripada Umno pada Jumaat kerana didakwa menentang kepentingan parti.

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan timbalan ketua Pemuda Umno Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian selama enam tahun.

Turut digantung keahlian bekas ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Shariff dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang.

Khairy berkata, masa yang ada sekarang akan digunakan untuk memikirkan mengenai langkah seterusnya. – 1 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen